Anggota bomba hadapi risiko bahaya

Anggota bomba hadapi risiko penyakit bahaya
















JOHOR BAHRU 15 Nov. - Akibat tekanan kerja yang tinggi ketika menjalankan tugasan, semakin ramai pegawai dan anggota bomba di negara ini dikesan berdepan risiko menghidap pelbagai penyakit berbahaya termasuk serangan jantung.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, antara faktor yang menyumbang kepada masalah itu termasuklah risiko yang terpaksa dihadapi ketika menjalankan kerja-kerja menyelamat selain tuntutan kepantasan bekerja.

Beliau berkata, meskipun perkara itu tidak begitu serius tetapi berdasarkan hasil kajian, ia merupakan ancaman utama kepada para pegawai dan anggota.

"Para pegawai dan anggota kami terutamanya di balai-balai kecil lebih terdedah kepada risiko ini kerana mereka mempunyai kekuatan anggota yang sangat minimum dan perlu sentiasa bersedia ketika diperlukan.

"Tekanan ini mendatangkan pelbagai penyakit berisiko tinggi seperti sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis sehingga membawa kepada kematian ketika menjalankan tugas," katanya selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Johor, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Abdul Ghani Daud.

Wan Mohd. Nor berkata, pihaknya sentiasa menyediakan kursus pengendalian tekanan, menyediakan skim insurans berkelompok dan pemeriksaan kesihatan bagi menjaga kebajikan pegawai dan anggota pasukan berkenaan.

"Kajian di Amerika Syarikat turut membuktikan berlakunya tekanan kerja dalam kalangan anggota bomba. Oleh itu, kebajikan pegawai dan anggota perlu dijaga supaya mereka tidak terdedah kepada sebarang masalah," katanya.

Terdahulu dalam lawatannya, Wan Mohd. Nor meminta semua pegawai dan anggota bomba meningkatkan perkhidmatan masing-masing bagi menjaga imej pasukan berkenaan.

Selain itu, beliau juga mahu semua pegawai dan anggota mematuhi slogan 'pantas dan mesra' agar ia selari dengan kehendak jabatan dalam meningkatkan mutu sistem penyampaian kepada orang ramai ketika menjalankan tugasan.

"Kita mahu wujudkan satu pasukan yang memiliki kepantasan yang tinggi ketika menjalankan kerja-kerja menyelamat di samping mewujudkan sifat mesra dengan masyarakat.

"Melalui cara itu pasukan ini akan menjadi sebuah pasukan yang terbaik pada masa akan datang," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban