Bekas komando gesa kaji punca

Bekas komando gesa kaji punca
















KUALA LUMPUR 15 Nov. - Beberapa bekas komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meminta pihak yang berkenaan mengkaji punca kurangnya penyertaan bukan Melayu dalam pasukan beruniform itu.

Bekas Timbalan Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia, Ibrahim Ahmad berkata, ia bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan dalam usaha menarik minat golongan tersebut menyertai ATM pada masa depan.

"Jika benar masalah gaji, disiplin atau suasana dalam tentera yang menjurus kepada faktor kurangnya penyertaan bukan Melayu dalam ATM, kita berharap agar perkara ini boleh dibincangkan secara baik.

"Ini kerana tidak ada kuota yang mengehadkan penyertaan mana-mana kaum untuk menyertai tentera kerana ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang layak," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan pihaknya bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga parti-parti politik bukan Melayu untuk menarik penyertaan masyarakat bukan Melayu menjadi anggota tentera.

Katanya, ia bertujuan membuktikan bahawa penyertaan dalam ATM adalah dibuka seluas-luasnya kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan bukan seperti andaian pihak tertentu kononnya ia berdasarkan kepada kuota.

Bekas komando, Othman Hussin, 70, turut sependapat dengan Ibrahim dan menyifatkan semua pihak perlu memberi perhatian terhadap usaha menggembleng tenaga bagi menarik minat bukan Melayu menyertai ATM dan bukannya memperbesar-besarkan isu tersebut.

Beliau yang dikenali sebagai 'Man Balak' semasa menyertai pasukan komando turut menyokong saranan Perdana Menteri supaya NGO memainkan peranan yang lebih besar dalam hal itu.

Seorang lagi bekas komando, Jaafar Sharif, 61, pula berharap agar isu itu tidak dipolitikkan oleh pihak yang berkepentingan.

"Kalau boleh saya mahu isu ini diselesaikan secara baik dan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum," katanya.

Kenyataan itu turut dipersetujui oleh Jahaya Ahmad, 70, yang juga bekas komando yang berkhidmat dalam ATM bermula 1957.

"Apa yang sepatutnya diberi penekanan dalam hal ini ialah kepentingan negara dan bukannya kaum," ujar beliau.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban