Jumpa PM

Susah nak lupa jumpa PM – Mohammad Nur Aliff














Mohammad Nor Aliff menunjukkan permainan PSP yang dihadiahkan oleh Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia semasa berkunjung ke Kuala Lumpur baru-baru ini. Kelihatan sama bapa, Omar Bakar dan ibu, Norhidayatul Farhana.


MIRI 15 Nov. – Peluang bertemu dengan pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak mungkin dilupakan oleh Mohammad Nur Aliff Omar, 12, sepanjang hayatnya.

“Perdana Menteri seorang yang kacak dan baik hati. Seronoknya dapat jumpa dia, suka sangat,” katanya tersipu-sipu ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Morsjaya dekat sini hari ini.

Mohammad Nur Aliff diterbangkan dari Miri, Sarawak oleh Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia ke Semenanjung sebelum diberi kejutan dengan membawanya mengunjungi Perdana Menteri di Sri Perdana pada 17 Oktober lalu.

Semasa di sana, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor meluangkan masa hampir sejam melayan kanak-kanak itu yang tiba bersama bapanya, Omar Bakar, 55, dan ibu, Norhidayatul Farhana Abdullah, 38.

Selain menemani Mohammad Nur Aliff bersarapan, Najib juga sempat membawanya ke bilik bacaan beliau selain menunjukkan ikan Arowana yang dipeliharanya selepas mengetahui kanak-kanak itu gemar melihat ikan hiasan.

Dia yang disahkan menghidap penyakit saraf Duchenne Muscular Dystrophy sejak tiga tahun lepas kini menjalani rawatan fisioterapi sekali seminggu di Hospital Miri selain urutan di PDK Morsjaya dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Jumaat.

Selain menjalani rawatan dan urutan, Mohammad Nur Aliff gemar mengisi masa lapangnya dengan bermain permainan PSP serta menonton siri Ultraman, Ben 10 dan Akademi Fantasia (AF) di televisyen.

“Saya ada banyak games seperti Avatar dan lumba kereta selain cakera padat video (VCD) cerita kartun,” katanya sambil menunjukkan PSP yang diperolehinya semasa kunjungan ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohammad Nur Aliff turut melahirkan impian agar dapat bertemu dan menatap semula wajah Perdana Menteri kesayangannya itu.

“Selain beliau, saya mahu berjumpa dengan artis Akim pada suatu hari nanti,” katanya yang amat meminati bintang siri realiti Akademi Fantasia (AF) itu.

Sementara itu Norhidayatul Farhana berkata, Mohammad Nur Aliff tidak dapat berjalan sejak dia berusia tujuh tahun.

“Semasa dia berumur lima tahun, Mohammad Nur Aliff kerap mengadu sakit kaki. Dua tahun selepas itu, dia tidak dapat berjalan lagi,” katanya yang terpaksa menjadi suri rumah sepenuh masa untuk menjaga anaknya itu.

Setiap bulan, mereka membelanjakan lebih RM200 untuk membeli keperluan anaknya itu.

Katanya, mujurlah PDK Morsjaya menyalurkan bantuan kewangan RM150 sebulan yang dibayar setiap tiga bulan sekali.

“Walaupun tidak mencukupi, namun sekurang-kurangnya bantuan ini meringankan beban memandangkan hanya suami yang bekerja menyara kehidupan kami sekeluarga,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban