A.Rahman Hassan mahu tubuhkan Muzium Pop Yeh Yeh




ORKES Nirwana di bawah pimpinan A. Rahman Hassan telah ditubuhkan lebih 40 tahun yang lalu.


























IRAMA pop yeh yeh yang pernah meledak pada persada muzik tanah air pada tahun 1960-an boleh dikatakan suatu genre muzik yang tidak luput ditelan zaman sehinggalah ke saat ini.
Selepas 50 tahun irama itu bertapak, ia bukan sahaja meninggalkan nostalgia buat para karyawan, malah terus dikenang serta diminati ramai termasuklah kalangan generasi muda.


Menyedari hakikat itu, penyanyi kumpulan Orkes Nirwana, Datuk A. Rahman Hassan berharap agar lebih banyak maklumat tentang irama itu dapat diketengahkan kepada umum.
Menurut penyanyi dan pemain gitar berusia 65 tahun ini, dia kini sedang berusaha untuk menubuhkan sebuah muzium tentang irama pop yeh yeh di Johor Bahru, Johor.
“Saya telah memohon untuk menubuhkan Muzium Pop Yeh Yeh itu daripada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan mengusulkannya kepada Yayasan Warisan Johor.
“Saya menyuarakan hasrat itu sewaktu menganjurkan Himpunan 60-an pada Januari tahun lalu. Sebuah bangunan di Johor Bahru juga telah dikenal pasti untuk tujuan itu.
“Saya berharap agar penubuhan muzium itu dapat direalisasikan dalam waktu yang terdekat ini. Buat masa ini, saya sedang mengumpul bahan-bahan yang berkaitan ,” katanya kepada S3.
Jelas penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Tak Mengapa itu, dia kini sedang mencari maklumat-maklumat tentang penyanyi dan kugiran pop yeh yeh untuk dipamerkan di muzium tersebut.
Antaranya mengumpulkan bahan-bahan seperti EP, LP, kostum, gambar dan alat-alat muzik yang pernah digunakan oleh artis-artis pop yeh yeh untuk dikongsi oleh peminat irama itu.
Jelas bapa kepada tiga anak dan enam cucu itu, dia merasakan belum terlambat untuk merealisasikan hasrat tersebut memandangkan ramai penyanyi dan pemuzik pop yeh yeh yang masih hidup.
“Perkara itu dapat dilihat berdasarkan rakaman rancangan Pop Yeh Yeh Bersama Orkes Nirwana yang dirakamkan sebanyak 13 episod di mana ia akan disiarkan di TV1 tidak lama lagi.
“Melalui rancangan itu, kami telah menjemput 38 penyanyi pop yeh yeh di mana ramai di antara mereka yang sudah tidak aktif menyanyi seperti Zainal Omara dan Hussaini B.
“Jadi, dari situlah kita akan mengumpulkan bahan-bahan yang berkaitan irama pop yeh yeh kerana mereka tentunya menyimpan bahan-bahan yang berkaitan irama tersebut,” ujarnya.
Selain sibuk mengusahakan penubuhan Muzium Pop Yeh Yeh, Rahman, pada masa sama beliau masih aktif menyanyi termasuklah menjayakan Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh di Istana Budaya.
Pada konsert anjuran Gombak Serumpun Sdn. Bhd. mulai 20 Januari lalu hingga 22 Januari ini, beliau mengadakan persembahan bersama isterinya Datin Azizah Mohamad dan Orkes Nirwana.
“Di samping menyanyi, saya juga sibuk menguruskan Kelab Kebajikan Artis Pop Yeh Yeh di mana saya telah dilantik sebagai Pengerusinya sejak lima tahun yang lalu.
“Aktiviti-aktiviti seperti ini banyak mengisi masa lapang saya termasuklah pada Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh. Ini kerana, pada konsert itulah saya berpeluang berjumpa kawan-kawan lama.
“Saya misalnya, dapat bertemu kawan-kawan daripada kumpulan seperti The Twilites dan The Siglap 5 dari Singapura yang saya tidak temui sejak lebih 40 tahun lalu,” jelasnya.
Rahman dan Orkes Nirwana akan menyanyikan lagu-lagu malar segar mereka antaranya berjudul Tak Mengapa dan Harapanku pada konsert yang mengenakan tiket daripada RM40 ke RM350.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban