Erat hubungan Malaysia-Brunei

KUANTAN 10 Jan. - Seramai 70 mahasiswa dan pensyarah dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) serta 13 politeknik dari seluruh negara mengadakan lawatan ke Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada 15 Disember tahun lalu.
Mahasiswa yang terlibat dalam lawatan itu terdiri daripada ahli Jawatankuasa Persatuan Pelajar (JPP) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) yang dipilih dari setiap politeknik di seluruh negara.
Penasihat Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Polisas, Mohd. Khairuddin Abd. Karim berkata, lawatan itu sebahagian daripada pengisian program Eksplorasi Silang Budaya 2011 anjuran Hal-Ehwal Pelajar Polisas dengan kerjasama Bahagian Pembangunan dan Kebajikan Pelajar, Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi.
"Ia menjadi medan pertemuan untuk bertukar pandangan mengenai perbezaan budaya masyarakat Melayu Brunei dan sistem pembelajaran di universiti negara jiran itu.
"Di samping itu, ia bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli JPP dan PRS Politeknik Malaysia dengan Persatuan Mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (PMUBD)," katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.
Dalam kunjungan tersebut Mohd. Khairuddin berkata, mereka diberi taklimat mengenai keunikan sistem Melayu Islam Beraja yang menjadi falsafah kebangsaan Brunei oleh Ketua Program di Akademi Pengajian Brunei UBD, Awang Zulhilmi Jaidin.
"Beliau (Awang Zulhilmi) menjelaskan secara terperinci mengenai pengertian Melayu Islam Beraja yang menjadi dasar kerajaan Brunei yang perlu difahami dan menjadi amalan kehidupan rakyatnya," katanya.
Selain itu, katanya, delegasi turut diberi penerangan tentang program pengajian di UBD dan peranan Persatuan Mahasiswa Universiti Brunei Darussalam.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban