Pelajar UiTM turun Selama



KUMPULAN pelajar UiTM berbakti kepada masyarakat apabila turun ke kampung mendekati golongan muda.



SEDANG rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari. Peribahasa ini amat sesuai dengan usaha murni pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam memberi pendedahan kepada pelajar luar bandar mengenai kepentingan pendidikan dan kehidupan universiti.
Dalam program Mahasiswa Masuk Kampung itu, seramai 30 pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia, UiTM Shah Alam, Selangor menghabiskan masa selama tiga hari di Kampung Sungai Siputeh, Selama, Perak baru-baru ini.
Pengarah projeknya, Ismail Ibrahim, 23, berkata, program Mahasiswa Masuk Kampung merupakan inisiatif pelajar-pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia, UiTM Shah Alam.
"Ia bertujuan memupuk kesedaran masyarakat luar bandar mengenai kepentingan pendidikan terutamanya mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
"Kita sedia maklum bahawa mata pelajaran ini amat penting dalam memastikan pelajar dapat memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) sekali gus memberi peluang kepada mereka melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat luar negara," katanya.
Ismail menambah, program berkenaan diharap dapat menyumbang sedikit sebanyak dalam menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat bumiputera luar bandar agar memastikan anak-anak mereka sentiasa diberi galakan dan pendedahan mengenai pendidikan.
Selain daripada itu, dia memberitahu, program tersebut turut menjadi platform terbaik merapatkan hubungan masyarakat luar bandar dengan pelajar-pelajar.
Dekati pelajar sekolah
Program diiringi pensyarah pengiring Dr. Syed Shatir Asghrar Syed Hassan itu berjaya mengumpulkan seramai 40 pelajar Sekolah Menengah Sungai Bayor, Selama, Perak. Mereka terdiri daripada pelajar tingkatan empat bagi mempersiapkan diri dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun hadapan.
"Tidak terkecuali, pelajar turut diberi pendedahan mengenai asam garam kehidupan di universiti malah, merancang masa depan dengan lebih teliti dalam pemilihan program diminati apabila ingin melangkah ke alam universiti.

PELAJAR sekolah membuat latihan dalam kumpulan yang dikelolakan mahasiswa UiTM.



"Dalam pada itu, kita tidak hanya fokus kepada pelajar sahaja bahkan, ibu bapa turut diberi penerangan dan bimbingan agar sentiasa memberi galakan kepada anak-anak mereka dalam pendidikan," ujarnya lagi.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang tiga hari program termasuk ceramah kejuruteraan kimia, kejuruteraan minyak dan gas, bola sepak bersama penduduk, boling kelapa dan mencari gula-gula dalam tepung.
Sementara itu, salah seorang peserta, Mohamad Fadli Mustapa, 23, memberitahu, walaupun pelbagai cabaran perlu ditempuhi termasuk cuaca yang tidak menentu, program berkenaan dapat dilaksanakan dengan berjaya.
"Kita berharap dengan penganjuran program ini, ia dapat menjadi pemangkin semangat kepada golongan belia terutama pelajar di Kampung Sungai Siputeh dalam mengejar impian sehingga ke menara gading," katanya.
Seorang peserta program, Afifah Idris, 23, pula memberitahu, dia gembira kerana dapat berbakti dalam memberi pendedahan kepada adik-adik di kampung.
"Saya dapat melihat riak wajah anak muda kampung itu cukup gembira," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban