UTM sasar jadi jenama global


Zaini Ujang menerima basikal daripada Pengarah Kerja UTM, Prof. Ir. Dr. Wahid Omar (kanan) bagi kegunaan kakitangannya pada majlis Amanat Tahun Baru 2012 di Johor Bahru, kelmarin.



JOHOR BAHRU 10 Jan. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menggariskan beberapa pendekatan dalam Pelan Global UTM 2012-2020 bagi melonjak institusi berkenaan menjadi jenama global sekali gus menempa nama dalam kelompok 50 universiti terbaik dunia menjelang 2020.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang berkata, fokus pelan perancangan itu turut berperanan meletakkan UTM sebagai sebuah universiti ternama dunia meliputi sumbangan ilmiah, penjanaan modal insan, impak terhadap ekonomi inovasi Malaysia dan serantau, penonjolan pada peringkat antarabangsa serta penyerlahan jenama yang disegani.
Beliau berkata, UTM akan memberi penekanan kepada tiga faktor iaitu penambahan penuntut pasca siswazah, mengurangkan tekanan penuntut ijazah pertama serta konsep entrepreneurial.
"Sebagai sebuah universiti berstatus penyelidikan, jumlah penuntut sarjana dan doktor falsafah (Ph.D) memainkan peranan penting. Hingga kini jumlah penuntut tersebut adalah 46 peratus dan kita akan cuba capai sasaran sebanyak 50 peratus tahun ini.
"Bagi pelan 2012-2020 pula, kita menyasarkan penambahan penuntut pasca siswazah berkenaan sehingga 70 peratus dan mereka juga akan menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi," katanya selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru 2012 di sini, semalam.
Zaini berkata, UTM juga akan mengurangkan jumlah pengambilan penuntut ijazah pertama, menggabungkan kursus dan menumpukan kepada penghasilan penuntut terbaik.
Menurutnya, pengurangan pengambilan penuntut itu akan dijalankan secara berperingkat-peringkat dengan jumlah akhir keseluruhan mereka pada 2020 adalah 2,000 orang.
"Fokus ketiga pula adalah penerapan konsep entrepreneurial iaitu universiti akan berusaha mencari sumber dan dana sendiri serta tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata," katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menerima 10 basikal berharga RM11,000 daripada Jabatan Pentadbiran Universiti bagi menyokong pelaksanaan kampus lestari dan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa dan kakitangan.

Comments

Popular posts from this blog

Naruto Episode Movie download

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban