Ikhlas Aidiladha bersama TV9

Ikhlas Aidiladha bersama TV9

SEKALI lagi umat Islam akan menyambut hari raya Aidiladha. Sambutan itu sebagai memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah.

Sambutan Aidiladha ini juga banyak memberi pengajaran mengenai erti sebenar pengorbanan dan kesabaran demi mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Seiring dengan sambutan Aidiladha hari ini, stesen televisyen TV9 tidak ketinggalan menyusun beberapa rancangan menarik bersesuaian dengan temanya pada tahun ini iaitu 'Ikhlas'.

Bermula dengan kapsul dua minit berjudul Kasih Ikhlas yang dibawakan oleh seorang pendakwah berpengalaman iaitu Ustaz Syed Mohd Norhisyam, segmen ini menceritakan sejarah Nabi Ibrahim dan keistimewaan di sebalik sambutan Aidiladha.

Tujuh episod Kapsul Kasih Ikhlas ini disiarkan pada pukul 10 pagi, 11 pagi, 12.30 tengah hari, 6.30 petang, 7.30 petang, 8.30 malam dan 9.30 malam.

Selain daripada Takbir Raya yang bermula pada malam Aidiladha, beberapa rancangan berbentuk perbincangan agama, bual bicara, drama dan juga dokumentari akan ditayangkan.

Program Nasi Lemak Kopi O istimewa Aidiladha akan disiarkan pada pukul 8 pagi dan ramai hos terlibat menjayakannya seperti Aziz Desa, Sharifah Nur, Sharifah Shahirah dan Fimie akan menghiburkan penonton.

Antara yang ditampilkan adalah lintas langsung dari Kedah meninjau keadaan mangsa banjir dan melihat secara dekat bagaimana mereka meraikan Aidiladha tanpa sebarang persiapan setelah rumah mereka ditenggelami banjir.

Turut menjadi tetamu istimewa adalah seorang chef dan seorang ustaz yang akan menceritakan cara afdal membahagikan daging korban dan chef tersebut juga akan menunjukkan car masakan daging yang boleh dikongsi bersama orang ramai.

Drama yang pernah dicalonkan untuk Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2009, Kak Kiah Serunding pula akan menemui penonton pada pukul 12.30 tengah hari.

Drama lakonan Kartina Aziz dan Catriona Ross ini mengisahkan Kak Kiah yang terkenal dengan serundingnya yang sedap.

Suatu hari, Kak Kiah berkunjung ke rumah Salbiah yang juga bakal menjadi besannya. Kak Kiah berasa iri hati apabila mendapat tahu anak Salbiah iaitu Zaiton pandai membuat serunding.

Pastinya ditunggu ramai, program Insya-Allah Maher Zain pula akan disiarkan pada pukul 6.30 petang.

Program ini mendekatkan lagi penonton dengan penyanyi kacak yang berasal dari Lubnan dan kini menetap di Sweden.

Ketahui bagaimana dunia hiburan New York menukarkan beliau daripada penyanyi rap kepada penyanyi dakwah serta kisah di sebalik lirik dan lagunya sehingga memberi kesan mendalam kepada setiap pendengar.

Pada pukul 9.35 malam pula, TV9 akan membawakan drama Janji Dengan Najwa yang membariskan Wan Hanafi Su, Fauzi Nawawi, Mohd. Hanis Kamarulazaman dan Ezlisa Loy pasti meruntun hati.

Janji Dengan Najwa menceritakan pengorbanan seorang ayah setelah kematian isteri tercinta dan juga pengorbanan seorang abang sulung menjaga adik-adiknya.

Esok (18 November) pula, drama Selangkah Ke Syurga akan menemui penonton pukul 12.30 tengah hari.

Drama yang menyayat hati ini dilakonkan oleh Jalil Hamid, Watie dan Zulhuzaimy mengisahkan pengorbanan Pak Jalil yang menyimpan wang hasil titik peluhnya untuk mengerjakan Haji di Tanah Suci Mekah.

Anak-anaknya, Farhana dan Farhan, bekerja di Kuala Lumpur dan tinggallah Pak Jalil yang kematian isteri menjalani kehidupan di kampung keseorangan.

Hasrat Pak Jalil ditentang oleh anak-anaknya berikutan usia Pak Jalil yang sudah tua. Pak Jalil amat kecewa dengan keputusan anak-anaknya dan telah pergi ke Tabung Haji sendiri bagi menguruskan perkara tersebut tanpa bantuan anak-anaknya.

Suatu hari Pak Jalil bermimpi bahawa dia didatangi oleh seorang tua yang mengatakan dia akan ke Mekah.

Namun, keesokan harinya, Farhan dan Farhana terkejut apabila mendapati ayahnya telah meninggal dunia pada pagi Hari Raya Aidiladha itu.

Program Coretan Di Tanah Suci yang akan disiarkan pada pukul 6.30 petang pula menceritakan pengalaman beberapa jemaah haji dan umrah mengerjakan ibadah mereka sepanjang berada di Tanah Suci Mekah.

Sementara pada hari Jumaat (19 November) pula, penonton TV9 akan dihiburkan dengan tayangan drama Seluhur Nazar pukul 12.30 tengah hari.

Drama ini mengisahkan Fatimah, seorang ibu tunggal yang bernazar untuk mengorbankan seekor lembu sempena Aidiladha.

Suatu hari tanpa diduga, dia telah dirompak dan ketika bergelut untuk menyelamatkan diri, kepalanya telah dipukul oleh perompak dan dibiarkan di tepi jalan.

Keadaan Fatimah yang kritikal telah mendesak anak-anaknya untuk menunaikan hajat terakhir ibu mereka.

Seluhur Nazar dilakonkan oleh Elly Suriati, Syafie Naswip, Rozita Che Wan, M. Rajoli dan Zed Zaidi.

Pada hari yang sama pukul 6.30 petang, Kota Salahuddin yang merakamkan perjalanan krew TV9 mengikuti rombongan sukarelawan Aman Palestin akan disiarkan.

Rombongan itu bagi menjejak kesan sejarah dan peninggalan Salahuddin Al-Ayubbi, iaitu seorang pejuang Islam yang berjaya membebaskan Palestin daripada penguasaan tentera Salib pada tahun 583 Hijrah.

Tujuannya adalah untuk melihat kehebatan peninggalan Salahuddin dalam membebaskan dan mempertahankan bumi Palestin.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin