Kerajaan perlu tegas tangani isu murtad
Kerajaan perlu tegas tangani isu murtad
KUALA LUMPUR 15 Nov. - Kerajaan perlu bersikap lebih tegas dalam menangani isu murtad termasuk yang terbaru melibatkan Beginda Minda atau nama Islamnya, Nor Azman Abdullah bagi memastikan kesucian agama terpelihara.
Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Md. Salleh Ahmad berkata, kelonggaran daripada aspek penguatkuasaan dikhuatiri menyebabkan kemunculan individu-individu yang secara terang-terangan mengaku murtad.
Jelasnya, keadaan itu memperlihatkan agama Islam tidak diberi pembelaan yang sewajarnya sehingga begitu mudah diperlekehkan pihak tidak bertanggungjawab.
"Di Malaysia kita tidak pernah menjalankan undang-undang Islam yang sebenarnya kepada mereka yang murtad.
"Kebanyakan mereka terlepas begitu sahaja dan ini menunjukkan kelemahan penguatkuasaan perundangan Islam di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas status agama bapa kepada murid berusia 10 tahun yang mendakwa dirotan pihak sekolah kerana membawa nasi goreng berlaukkan sosej babi ke Sekolah Kebangsaan St. Thomas, Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Nor Azman yang membuat pengakuan secara terbuka memberitahu dia telah murtad dan menukar nama kepada Beginda Minda sejak 1999.
Bagaimanapun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam mengesahkan bahawa Beginda masih beragama Islam kerana ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pernah memeluk agama itu.
Pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah pula berkata, Jakim perlu memainkan peranan penting dalam mengenal pasti punca ahli PKR itu mendakwa dirinya telah keluar daripada Islam.
Katanya, siasatan secara terperinci akan memberi gambaran yang lebih jelas berhubung tindakannya sama ada dilakukan secara sukarela atau terpaksa.
"Jika dia mengisytiharkan dirinya bukan lagi beragama Islam, kita perlu mengetahui mengapa dia mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Dia perlu diberi nasihat dan bimbingan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Sekiranya dia masih lagi bertegas dengan kenyataannya, maka tindakan tegas perlu diambil agar tiada pihak yang berani mempersendakan agama Islam selepas ini," katanya.
Dalam pada itu Timbalan Dekan Institut Pemikiran Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata, langkah memberi nasihat dan bimbingan kepada Beginda lebih sesuai dijalankan berbanding mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Jelasnya, sebagai saudara baru, Nor Azman berkemungkinan menghadapi kekeliruan sehingga dia bertindak mengeluarkan kenyataan tidak lagi beragama Islam dan masalah itu sewajarnya diberi perhatian oleh semua pihak.
"Jangan terus guna tindakan undang-undang tetapi gunakan kebijaksanaan dalam mengatasi masalah ini. Oleh itu dia perlu diberi nasihat dan nasihat itu wajar diberikan oleh mereka yang diyakininya," katanya.
Comments
Post a Comment