Kerajaan PKR -Selangor - tidak tahu malu

Kerajaan PKR Selangor tidak tahu malu – Shahrizat

KUALA LANGAT 26 Nov. – Cadangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya peruntukan kebajikan yang disediakan kerajaan Pusat diserahkan kepada kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dianggap sebagai memalukan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ia kerana cadangan itu merupakan jalan mudah bagi menutup kecuaian kerajaan PKR dalam menyediakan peruntukan kebajikan yang cukup kepada rakyat negeri ini.

Justeru kata Shahrizat, Abdul Khalid sepatutnya berasa malu dengan diri sendiri kerana boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu.

‘‘Minta maaf. Kalau dia hero dialah kena jaga orang Selangor. Ini minta duit dari kementerian saya yang wanita ni dan kemudian kata pada rakyat, ini duit aku bagi. Banyak cantik. Tak malu,” katanya.

Shahrizat ditemui selepas menyampaikan bantuan Program Gempur Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Meningkatkan Taraf Hidup Isi Rumah Berpendapatan Rendah di Kampung Bukit Changgang di sini hari ini.

Pada program itu, seramai 110 Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar dan Miskin di Parlimen Sepang yang berdaftar di bawah Sistem e-Kasih menerima bantuan NKRA berupa bakul nutrisi, set uniform sekolah, tilam dan bantal serta sumbangan RM300.

Hadir sama Pengerusi Program Masyarakat Penyayang (Mayang) Parlimen Sepang merangkap Ahli Parlimen Sepang, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Datuk Marsum Paing.

Shahrizat mengulas cadangan Abdul Khalid agar kerajaan Pusat menyerahkan peruntukan tersebut kepada kerajaan PKR Selangor untuk diagih-agihkan kepada rakyat di negeri ini bagi mengelak pentadbiran berlapis dalam satu majlis di Shah Alam pada 23 November lalu.

Terdahulu, Shahrizat dalam ucapannya sekali lagi melahirkan rasa kesal kerana ramai penerima bantuan kebajikan yang layak di negeri ini tidak mendapat peruntukan secukupnya kerana peruntukan disediakan kerajaan negeri terlalu sedikit.

Beliau berkata, ini memandangkan kerajaan PKR Selangor hanya menyediakan RM14.6 juta berbanding kira-kira RM100 juta oleh kerajaan Pusat.

‘‘Bagi sana sikit, bagi sini sikit. Lepas tu kalau cakap, tak nak kalah. Mana boleh macam tu. Bayangkan bagi pada ibu tunggal RM100. Itu pun sekali saja setahun. Kalau sebulan baru RM8 lebih. Mana cukup,” katanya.


info news

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin