Menjinak ikan laut di ladang kuda

Menjinak ikan laut di ladang kuda
















kolam pancing air masin bagi kemudahan rekreasi untuk pemancing ikan laut di Kolam Pancing Ibai, Terengganu Ekuestrian Resort, Kuala Terengganu. – utusan/Fauzi BAHARUDIN



KUALA TERENGGANU 12 Nov. – Bagi yang gemar memancing, di laut lebih menjanjikan keseronokan, bukan sahaja kerana hasil tangkapannya pelbagai tetapi juga cabaran yang lebih menguji dalam mengendalikan kail ketika matanya direntap.

Bagi memenuhi hobi ini, ia lazimnya menuntut lebih banyak belanja seperti sewaan bot di samping ruang masa yang lebih panjang perlu dihabiskan dan sesekali terdedah dengan risiko.

Mereka mungkin berdepan cuaca buruk atau laut bergelora tidak semena-mena dan diburukkan lagi jika bot bocor dan tenggelam ketika berjam-jam asyik di lubuk ikan berjauhan pantai.

Kadangkala waktu terluang untuk pergi memancing tidak bersesuaian untuk turun ke laut apatah lagi hasrat itu wajar dipendamkan sahaja sepanjang beberapa bulan musim tengkujuh melanda.

Musim tengkujuh pastinya merupakan halangan besar yang tidak dapat dielakkan dan mereka terpaksa menunggu sekurang-kurangnya Mac depan sebagai waktu sesuai untuk kembali memulakan aktiviti itu.

Namun bagi kaki pancing di sini, mereka boleh teruskan kegemaran itu dengan kewujudan sebuah kolam pancing ikan air masin yang terletak di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai dekat sini.

Kolam Pancing Ibai yang mula dibuka baru-baru ini tentunya diumpama pucuk dicita ulam mendatang apabila ia bakal melunaskan keinginan membuak-buak kaki pancing untuk melepaskan ‘gian’ mereka memancing di laut dalam.

Tidak perlu bimbang untuk menyewa bot atau bertarung dengan ombak kuat untuk ke lokasi ini sama ada siang mahupun malam apabila ia hanya terletak 10 minit daripada bandar Kuala Terengganu serta dibuka 24 jam sehari.

Lokasinya yang dikelilingi dengan rimbunan pokok serta pemandangan resort serta ladang kuda menambahkan keseronokan sesiapa sahaja yang mengunjungi kolam pancing itu.

Selain itu, kemudahan penginapan, surau, tandas serta restoran juga disediakan bagi memberi keselesaan pengunjung.

Keistimewaan kolam pancing ini bukan sahaja terletak pada kemudahan yang disediakan namun pada ‘penghuni’ kolam tersebut yang terdiri daripada pelbagai spesies ikan air masin dan bukannya ikan air tawar seperti kebanyakan kolam yang terdapat di negeri ini.

Kolam dengan saiz lingkaran kira-kira dua kilometer itu pertama seumpamanya di negeri ini menempatkan pelbagai jenis ikan seperti ikan pari, siakap putih, jenahak, merah serta kerapu yang pastinya memberi pengalaman setanding memancing di lautan.

Bagi mereka yang pertama kali mencuba pula, pastinya gamat suasana di kolam tersebut jika berjaya menaikkan spesies-spesies ikan yang mempunyai nilai tinggi di pasaran itu.

Mengenakan bayaran RM50 untuk tempoh tiga jam untuk satu joran boleh dikatakan murah bagi kaki pancing apabila pulangan yang diperolehi pastinya berbaloi dengan purata berat ikan yang terdapat di kolam tersebut seberat satu hingga empat kilogram seekor.

Namun jangan terkejut jika mata kail anda dimakan ikan seberat 70 kilogram kerana terdapat kira-kira 30 ekor ikan pari yang beratnya mencecah lebih 70 kilogram dilepaskan di dalam kolam berkenaan sebelum ini.

Pun begitu, sejak kolam pancing itu dibuka tiada seorang pemancing pun berjaya menjinakkan ikan tersebut namun yang ada hanya mata kailnya direntap dan hilang dibawa ikan-ikan itu.

Menurut pengusahanya, A. Azahari Mohd. Kasim, 33, ikan pari bersaiz besar itu sudah pasti menjadi buruan setiap kaki pancing yang mengunjungi kolam pancing berkenaan.


Syukri Puteh menunjukkan dua ekor ikan siakap putih yang dipancingnya di Kolam Pancing Ibai, Terengganu Ekuestrian Resort, Kuala Terengganu.


Katanya, kolam pancing seluas dalam lingkaran dua kilometer ini mampu memuatkan seramai 2,000 orang pada satu-satu masa.

Tambahnya, sejak ia dibuka pada 1 November lalu, sambutan daripada pengunjung amat memberangsangkan apabila pada hari pertama ia dibuka kolam tersebut telah menerima kunjungan 70 hingga 80 orang sehari dengan pendapatan mencecah RM3,000.

“Melihat kepada sambutan orang ramai saya percaya kolam pancing ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh kaki pancing di negeri ini memandangkan rata-rata kaki pancing di sini sering mencari kolam pancing air masin pada musim tengkujuh.

“Justeru, saya yakin ia bakal menjadi lokasi riadah baru kepada kaki pancing terutamanya kepada mereka yang ingin mencuba aktiviti ini bersama keluarga,” jelasnya.

Menurut A. Azahari, bagi memastikan setiap pemancing memperoleh hasil, pihaknya senantiasa menambah jumlah ikan di dalam kolam tersebut.

Jelasnya, setakat ini terdapat lebih 700 ekor ikan pelbagai spesies telah dilepaskan di kolam berkenaan.

Tambahnya, pihaknya juga bukan sahaja mementingkan keseronokan pelanggan dengan hasil mereka namun kualiti hasil tangkapan mereka.

“Setiap dua minggu sekali kita akan membersihkan kolam berkenaan bagi membolehkan pengaliran air dilakukan secara baik walaupun air masin berkenaan merupakan sumber asli daripada pantai berdekatan.

“Selain itu, kita juga dalam perancangan untuk menambah baik kolam tersebut dengan sejenis alat agar air kolam itu lebih berombak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi TER, Datuk Hamzah Muhammad berkata, kewujudan kolam pancing tersebut sekali gus dapat membantu mempromosikan TER yang bukan sahaja menjadi lokasi bagi sukan berkuda yang hanya boleh disertai oleh golongan elit.

“Kewujudan kolam ini dapat menyangkal stigma masyarakat yang sering mendakwa TER hanya untuk golongan elit memandangkan ia amat sinonim dengan sukan berkuda yang juga sering dikaitkan dengan golongan itu.

“Jadi, saya percaya kolam ini membolehkan golongan biasa mengunjungi TER dan melihat kemudahan-kemudahan lain di sini,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, pihaknya juga akan mengadakan satu pertandingan secara bersiri di kolam pancing itu dalam usaha mempromosikan kolam pancing tersebut.

Katanya, siri pertama akan diadakan bermula 13 November ini dan hadiah lumayan bakal ditawarkan.

“Saya percaya dengan penganjuran pertandingan ini secara bersiri, Kolam Pancing Ibai bakal menyediakan lokasi pelancongan baru kepada penduduk di negeri ini.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin