Najib sumbang RM1.7j untuk anak yatim

Najib sumbang RM1.7j untuk anak yatim




NAJIB Tun Razak menyampaikan replika cek bernilai RM1.7 juta kepada
Zawawi Ramli untuk membiayai Rumah Amal Limpahan Kasih,
Kampung Sri Aman, Puchong di Putrajaya, semalam.



PUTRAJAYA 26 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengotakan janjinya memberikan sumbangan sejumlah RM1.7 juta bagi pembinaan dua buah blok asrama anak yatim dan sebuah surau untuk kegunaan Rumah Amal Limpahan Kasih di Puchong dekat sini.

Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri kepada pengasas rumah anak yatim itu, Rabaah Abdul Aziz dan pengetuanya, Zawawi Ramli yang hadir bersama lima orang anak yatim rumah amal berkenaan di pejabatnya di sini.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menjanjikan sumbangan tersebut ketika lawatannya ke rumah tersebut pada Ramadan lalu dan mengambil kesempatan bersahur bersama anak-anak yatim tersebut.

''Seperti yang dijanjikan tempoh hari ini, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk pembinaan blok asrama dan RM200,000 lagi untuk membina sebuah surau baru," katanya ketika menyempurnakan penyerahan replika cek sumbangan tersebut.

Pada 27 Ogos lalu, Perdana Menteri sanggup turun padang seawal jam 5 pagi untuk bersahur bersama penghuni rumah amal itu dengan ditemani oleh anaknya Norashman Razak.

Beliau meluangkan masa lebih sejam bersahur dan mengerjakan solat Subuh berjemaah bersama penghuni rumah berkenaan serta penduduk kampung berhampiran pusat perlindungan dan asrama anak-anak yatim dan golongan kurang bernasib baik itu.

Pada majlis tersebut, Najib mengumumkan kerajaan telah meluluskan dana sebanyak RM1.7 juta bagi pembinaan dua buah blok asrama dan sebuah surau untuk kegunaan rumah itu yang menempatkan anak yatim, warga emas serta ibu tunggal.

Difahamkan rumah anak yatim tersebut juga akan dibangunkan sebagai sebuah pusat penempatan anak-anak dari seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai kaum selaras dengan gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri.

Rumah berkenaan ditubuhkan pada 2006 dan sehingga kini mempunyai seramai 430 anak yatim, 72 ibu tunggal, 30 warga emas dan 10 orang saudara baru

Sementara itu, Rabaah merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri atas sumbangan yang penuh bermakna itu.

''Kami sungguh bersyukur kerana hasil sumbangan Perdana Menteri itu selepas ini, anak-anak yatim akan dapat tinggal di asrama yang lebih selesa dan menunaikan ibadah di surau baru yang bakal dibina.

''Pada masa ini, kami menyewa enam buah rumah lagi daripada penduduk kampung untuk dijadikan asrama kepada anak-anak yatim kerana bangunan sedia ada tidak dapat menampung keperluan tempat tinggal penghuni rumah itu, " katanya.

Rabaah berkata, apabila bangunan baru asrama dan surau siap dibina, segala urusan kebajikan rumah anak yatim tersebut akan lebih mudah dilakukan.

Bagaimanapun, beliau berharap orang ramai dan organisasi masyarakat yang lain dapat terus menghulurkan sumbangan kepada rumah amal tersebut untuk memastikan nasib seluruh penghuninya dapat terus dibela.

''Penyerahan sumbangan ini tidak bermaksud rumah amal ini tidak memerlukan lagi sumbangan daripada orang ramai kerana kami masih memerlukan dana untuk menampung kos operasi rumah anak yatim tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Zawawi berkata, pihaknya merancang untuk menubuhkan Kelab Anak Yatim 1Malaysia bagi mengumpulkan maklumat dan data anak-anak yatim yang tidak tinggal di rumah kebajikan yang melibatkan pelbagai lapisan kaum.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin