Tarik pelabur
Kelebihan tarik pelabur
KUALA LUMPUR 23 Nov. - Syarikat yang menyepadukan tanggungjawab sosial dan strategi perniagaan mempunyai kelebihan untuk menarik lebih ramai pelabur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terdapat kajian yang menunjukkan hubung kait positif di antara amalan kemampanan syarikat dengan prestasi harga saham.
"Ukuran pelaburan ketika ini mula berubah apabila pelabur lebih memberi fokus kepada kualiti berbanding kuantiti.
"Pelaburan bertanggungjawab sosial seperti penjagaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus digabungkan dengan petunjuk kewangan yang kukuh dikenal pasti sebagai peluang pelaburan yang baik," katanya semasa melancarkan Program Kemampanan Perniagaan anjuran Bursa Malaysia.
Turut hadir Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi Bursa Malaysia Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff.
Katanya, terdapat peningkatan di dalam keputusan pelaburan terutama di negara maju yang menjadikan isu global seperti perubahan iklim, penyertaan masyarakat setempat, pengurusan risiko dan urus tadbir yang baik sebagai faktor utama.
Malah menurut Najib, pada masa ini terdapat banyak indeks tanggungjawab antarabangsa muncul seperti Dow Jones Sustainability Index, FTSE4Good, selain penarafan lain seperti Fortune Most Admired Companies.
"Indeks-indeks ini memberi profil kepada syarikat-syarikat ternama di dunia yang menekankan tanggungjawab sosial sekali gus menarik dana pelaburan tanggung jawab sosial (SRI) global," katanya.
Tambah Najib, dana SRI dijangkakan meningkat kepada AS$26.5 trilion (RM82.6 trilion) pada 2015 berbanding AS$7 trilion (RM21.8 trilion) tahun lalu.
Beliau juga meramalkan perkembangan global ini juga akan diterjemahkan kepada pertambahan permintaan SRI di Malaysia.
"Banyak kerja perlu dilakukan tetapi saya harap langkah-langkah awal ini mampu menggalakkan syarikat-syarikat bukan hanya meningkat keuntungan tetapi juga memastikan adanya manfaat kepada manuasia dan planet,'' kata beliau.
Comments
Post a Comment