Aman Shah khalwat janda didenda RM3,000

















































PUTRAJAYA 12 Jan. - Penyanyi dan pelakon popular era 80-an, Aman Shah bersama pasangannya, janda beranak dua masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat pada Syawal tahun lalu.

Hakim Syarie, Abu Zaky Mohamad yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan Aman Shah atau nama penuhnya Aman Shah Abu Kassim, 57, dan Rohana Awang, 33, dipenjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Kedua-duanya membayar denda tersebut.

Menurut pertuduhan, Aman Shah dan Rohana didakwa berada bersama dalam keadaan yang menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan tidak bermoral pada pukul 12.15 tengah malam, 26 September tahun lalu di sebuah apartmen kuarters kerajaan di Blok C1, Tingkat 2, Unit 5, Presint 15 Fasa 15-12B, di sini.

Aman Shah yang sudah beristeri didakwa di bawah Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 manakala Rohana dituduh mengikut Seksyen 27(b) akta sama.

Kedua-dua seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Sepanjang prosiding yang bermula pada pukul 12.10 tengah hari dan berakhir 40 minit kemudian, Aman Shah yang berkemeja putih dan bersongkok kelihatan tenang.

Rohana pula yang berkebaya rona merah gelap dan bertudung coklat, kelihatan sebak sambil menitiskan air mata.

Fakta kes menyebut, ekoran maklumat orang awam, sepasukan pegawai penguat kuasa agama diketuai oleh Mohd. Saman Idris tiba di rumah tersebut pada pukul 11.37 malam untuk membuat pemantauan.

Kira-kira seminit kemudian, mereka ternampak dua pasang kaki di dalam rumah itu dan pintu hanya dibuka oleh Aman Shah, 23 minit selepas diketuk.

Ketika itu Rohana yang memakai kemeja-T dan bertudung sedang duduk di meja makan.

Pada prosiding hari ini, Aman Shah dengan nada kesal memohon maaf kepada Allah dan mahkamah serta bertekad tidak mengulangi perbuatan itu.

''Sebenarnya ketika kejadian saya mempunyai masalah dan tidak berfikir panjang. Saya menyesal dan merayu agar tidak dipenjarakan kerana mempunyai tanggungan,'' kata penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Adikku Pandai Menari.

Rohana juga menyesal dan merayu agar tidak dipenjarakan kerana perlu menyara anaknya dan seorang adik yang sedang belajar.

Pegawai Pendakwa Syarie, Mohd. Hafiz Idris memohon hukuman berat kerana perbuatan berkhalwat bukan sahaja melibatkan akhlak sesama manusia bahkan akhlak kepada Allah.

''Perbuatan berdua-duaan di tempat tersembunyi boleh merangsang nafsu. Sepatutnya dalam usia yang bertambah lanjut semakin menyedarkan kita bahawa kematian semakin hampir,'' kata Mohd. Hafiz.

Abu Zaky sebelum menjatuhkan hukuman sempat mengingatkan Aman Shah bahawa di penghujung usia, manusia semakin hampir dijemput menghadap Ilahi.

''Kamu kata ada masalah tetapi mengapa memilih untuk berada bersama wanita yang bukan mahram. Allah melarang perbuatan zina termasuklah zina melibatkan pancaindera. Jika tidak berilmu kita akan sesat,'' ujar Abu Zaky.

Pada 3 November tahun lalu, pasangan terbabit mengaku bersalah di hadapan Hakim Syarie Datuk Mohamad Abdullah tetapi mereka mempertikaikan fakta kes.

Mohd. Hafiz dalam prosiding hari ini sehubungan itu membacakan fakta kes yang telah dipinda kepada Aman Shah dan Rohana.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Kepergok Pocong [Indo] (2011) VCDRip MKV