Khalwat: Pelantikan pendakwa dibantah
Khalwat: Pelantikan pendakwa dibantah
KANGAR 12 Jan. - Kes seorang isteri yang ditangkap khalwat bersama pasangan bukan Islam pada hari jadinya September 2009 akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 22 Februari ini.
Hakim Syarie, Azzeman Omar menetapkan tarikh tersebut selepas Harlina Harun, 33, hari ini mengemukakan bantahan terhadap pelantikan Ketua Pendakwa Syarie, Ahmad Fikri Ibrahim dan Pendakwa Syarie, Ahmad Zaini Shamsudin dalam kes tersebut.
Harlina yang diwakili oleh peguam syarie, Zulmi Sabri mengemukakan bantahan atas alasan pelantikan Ahmad Fikri adalah tidak sah berdasarkan Seksyen 58(2) dan 78(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006.
Mahkamah juga diberitahu bahawa pelantikan Ahmad Zaini sebagai Pendakwa Syarie adalah bertentangan dengan Seksyen 78(2) enakmen tersebut dan Seksyen 183(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Perlis 2006.
Berikutan itu, dakwa Harlina, pelantikan Ahmad Zaini di bawah peruntukan 184(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Perlis 2006 adalah tidak sah dan terbatal.
Azzeman kemudian mengarahkan pihak pendakwa yang turut diwakili oleh Pendakwa Syarie, Fakhrurrazi Md. Mahdzir memfailkan jawapan balas pada 7 Februari ini sebelum Zulmi mengemukakan hujahan semula pada 22 Februari ini.
Harlina yang merupakan pegawai Imigresen yang bertugas di Sungai Petani, Kedah mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 30 September 2009.
Pegawai kerajaan itu didakwa berkurung dengan lelaki bukan muhrim, Yeoh Wei Meng, 36, antara pukul 1 pagi dan 5.30 pagi, 24 September 2009 di sebuah bilik bernombor 811 di Hotel Putra Palace.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 9(2) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan kekecewaan suami tertuduh, Mohd. Shazeli Ghazali, 32, apabila isterinya itu diberkas pegawai pencegah maksiat, sedangkan pada hari yang sama dia telah pun membeli kek untuk meraikan hari jadi Harlina yang ke-31.
Comments
Post a Comment