Perodua belanja RM614j tahun ini
Perodua belanja RM614j tahun ini
Aminar Rashid Salleh
RAWANG 12 Jan. - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) memperuntukkan RM614 juta sebagai perbelanjaan modal bagi tahun ini dalam usaha mengekalkan kedudukan sebagai peneraju di negara ini untuk tahun kelima berturut-turut.
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, perbelanjaan modal itu merangkumi pembinaan kilang transmisi automatik elektronik baru berharga RM250 juta, pembangunan untuk model baru RM300 juta dan perbelanjaan lain-lain.
Beliau berkata, penubuhan kilang E-AT milik Daihatsu Motor Company (DMC) merupakan kilang pertamanya di luar Jepun dan pemilihan Malaysia sebagai destinasi pertama perpindahan teknologi merupakan sesuatu yang amat membanggakan.
Ketika ini katanya, model Myvi and ALZA menggunakan E-AT, sebuah sistem transmisi berteknologi tinggi yang memerlukan kemahiran dan peralatan khusus untuk mengeluarkannya.
"Perodua merancang mengeksport sistem E-AT dalam jangka masa pertengahan sebagai hala tuju strategik untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran dan pembuatan di rantau ini," katanya pada taklimat media di sini hari ini.
Pada taklimat itu, Perodua turut mengumumkan peningkatan 13 peratus dan rekod jualan 188,600 buah tahun lepas, berbanding 166,700 buah pada tahun 2009 dengan model MyVi muncul sebagai model jualan paling laris di Malaysia. Ia menguasai 31.2 peratus kepentingan pasaran kereta negara.
Perodua turut memecahkan dua rekod pada 2010 - pertama dengan jualan tahunan tertinggi pernah dicatatkan dan Disember lepas, Perodua mencapai pendaftaran jualan bulanan tertinggi sebanyak 19,400 buah, mengatasi rekod sebelum ini 18,500 buah pada Mac 2010.
Berikutan itu, kata Aminar Rashid, pihaknya menjangkakan jualan untuk tahun 2011 sebanyak 195,000 buah yang masih dipacu oleh model Myvi, Alza dan ViVa selain model baru yang akan diperkenalkan tahun ini.
Beliau berkata, Perodua tidak berminat untuk melabur dan membangunkan enjin hibrid atau kenderaan elektrik sebagaimana para pengeluar kereta lain memandangkan enjin yang digunapakai ketika ini amat efisien.
"Perodua telah banyak menyumbangkan kepada teknologi hijau ketika ini dengan usaha peningkatan penggunaan bahan api, pengurangan pelepasan karbon dan lain-lain," katanya.
Comments
Post a Comment