TELSOM garis 6 teras mantapkan ICT ASEAN
TELSOM garis 6 teras mantapkan ICT ASEAN
Kamaruddin Siaraf menyatakan sesuatu kepada Tetsuo Yamakawa selepas
menutup mesyuarat TELSOM di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Pelan Induk Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ASEAN 2015 akan menggariskan enam teras strategik bagi memantapkan sektor ICT di rantau ini.
Ketua Setiausaha Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, pelan tindakan itu meliputi usaha dan program yang mampu menjana transformasi ekonomi di semua negara anggota ASEAN.
Beliau berkata, ia sejajar dengan usaha ke arah menangani jurang digital khususnya bagi masyarakat luar bandar dan tumpuan keada negara-negara ASEAN yang sedang membangun.
"Penjelasan dasar dan program kerjasama itu akan diumumkan oleh menteri-menteri ASEAN selepas Mesyuarat Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat (TELMIN) Ke-10 meluluskannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Mesyuarat Pegawai Kanan Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat (TELSOM) ASEAN Ke-11 Bersama Rakan Dialog ASEAN di sini hari ini.
Pelan induk itu dijangka dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada Jumaat ini.
Ia merupakan satu dokumen strategik yang akan memacu pembangunan sektor telekomunikasi dan ICT di negara ASEAN ke peringkat lebih tinggi di samping memperkukuhkan hubungan negara anggota ke arah mewujudkan 'satu komuniti' menjelang 2015.
Kamaruddin berkata, mesyuarat kali ini turut mendapat kerjasama dan komitmen daripada rakan dialog ASEAN seperti China, Jepun dan Korea.
Menurutnya, ketiga-tiga negara itu menyatakan sokongan padu dalam menjayakan program-program kerjasama yang digariskan di bawah pelan induk tersebut.
Sokongan itu, kata beliau, amat bermakna kerana ia dapat membantu usaha yang dirancang oleh negara-negara ASEAN untuk membangunkan sektor telekomunikasi dan ICT yang lebih strategik dan progresif.
Pelan tindakan itu antara lain turut menggariskan program ICT ke arah meningkatkan penyertaan, kemampuan dan memperkasakan organisasi dan masyarakat di rantau ini.
Ia juga bakal melibatkan program-program inovasi ke arah memberansangkan pertumbuhan sektor telekomunikasi dan ICT serta projek kerjasama dan pembangunan infrastruktur dan aplikasi teknologi.
Selain itu, ia turut meliputi program pembangunan modal insan termasuk pendidikan, latihan dan kemahiran serta peluang pekerjaan.
Mesyuarat TELSOM Ke-11 dan TELMIN Ke-10 kali ini disertai oleh 181 delegasi meliputi 10 negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei selain wakil Kesatuan Eropah (EU) dan wakil kesatuan telekomunikasi antarabangsa (ITU).
Comments
Post a Comment