Transformasi sosial diberi tumpuan

Transformasi sosial diberi tumpuan


KUALA LUMPUR 17 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara akan memberi tumpuan terhadap agenda transformasi sosial yang menjadi pelengkap kepada program-program transformasi kerajaan sebelum ini demi melahirkan masyarakat lebih seimbang, adil dan saksama.

Sambil menyifatkan agenda itu sebagai satu cabaran besar bagi kerajaan, Perdana Menteri berkata, program tersebut bakal melibatkan usaha mengubah sikap masyarakat.

Selain itu katanya, ia turut membabitkan peranan kerajaan mengukuhkan kedudukan ekonomi negara kerana transformasi sosial sukar dilaksanakan sekiranya faktor kewangan menjadi halangan.

“Saya akui agenda transformasi sosial merupakan cabaran besar bagi kerajaan kerana sebarang usaha untuk mengubah sikap masyarakat bukannya mudah.

“Apatah lagi agenda ini menyentuh kemampuan kerajaan bagi memastikan ekonomi negara sentiasa kukuh. Di Malaysia, rakyat yang tidak berkemampuan juga berhak hidup dalam keadaan selesa dan oleh itu menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu mereka,’’ katanya.

Beliau berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.

Sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan pada 2009, Najib memperkenal dan melaksanakan pelbagai program transformasi antaranya, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Najib berkata, begitu juga dengan golongan yang tidak bernasib baik, kerajaan sentiasa komited membantu mereka menghadapi kelangsungan hidup.

“Mahu tidak mahu kerajaan perlu mempunyai rancangan serta persediaan untuk memastikan ekonomi negara sentiasa stabil dan berkembang,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian di bawah Shahrizat merupakan nadi penting ke arah menjayakan transformasi sosial kerana kumpulan sasar terbesar adalah di bawah kementerian terbabit.

“Kementerian ini mempunyai tanggungjawab yang cukup besar kerana kumpulan sasar terdapat di bawahnya termasuk kanak-kanak, orang kurang upaya, golongan wanita dan warga emas,’’ katanya.

Dalam ucapannya, Najib turut menyentuh mengenai kejayaan kementerian berkenaan menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam konteks meningkatkan pendapatan di bawah dasar jaringan keselamatan sosial.

“Antaranya kita berjaya menurunkan kadar kemiskinan tegar. Sehingga 31 Disember 2010 sebanyak 44,529 (99.74 peratus) daripada 44,643 miskin tegar telah berjaya dikeluarkan daripada senarai e-kasih.

“Saya berharap dalam pusingan kedua masalah miskin tegar ini dapat kita basmi sepenuhnya,’’ katanya lagi.

Beliau turut menghargai setiap sokongan padu kaum wanita dalam membangunkan negara sejak dahulu lagi.

“Peranan wanita menjadi perhitungan penting dalam detik-detik menuju kemerdekaan dengan segala sokongan padu yang diberikan.

“Pendahulu di kalangan wanita seperti Ibu Zain, Tun Fatimah Hashim, Tan Sri Aishah Ghani, Puan Sri Janakhy Athi Nahappan, Toh Puan Umasundari Sambanthan dan Tan Sri Rosemary Chong berusaha gigih meletakkan pancang-pancang kukuh sebagai landasan pembangunan serta kepentingan wanita di Malaysia,’’ katanya lagi.

Terdahulu pada permulaan ucapannya, Najib secara berseloroh menyatakan sejak 35 tahun berkecimpung dalam bidang politik, inilah kali pertama beliau berucap di atas pentas berputar.

Ia merujuk kepada pentas bulat yang berputar secara perlahan-lahan untuk membolehkan semua tetamu menyaksikan beliau berucap.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Kepergok Pocong [Indo] (2011) VCDRip MKV