Ringgit boleh cecah RM2.95 sedolar

Ringgit boleh cecah RM2.95 sedolar

IPOH 22 April - MIDF Amanah Investment Bank Bhd. (MIDF Investment) menjangkakan mata wang ringgit mampu melonjak ke paras tertinggi sehingga RM2.95 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini.
Malah, Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Penyelidikannya, Zulkifli Hamzah mengunjurkan peningkatan itu akan lebih cepat sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) tidak campur tangan dalam pasaran kewangan.
Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan BNM dan bank-bank pusat Korea Selatan dan Thailand campur tangan dalam pasaran kewangan untuk memperlahankan lonjakan mata wang masing-masing.
Menurut Zulkifli, peningkatan nilai ringgit itu akan menjadikan fenomena pasaran kewangan negara lebih menarik khususnya kepada pasaran saham tempatan.
''(Sekiranya) peningkatan ringgit berlaku, kita akan dapat melihat aliran masuk dana yang aktif dalam pasaran negara, sekali gus akan membantu mendukung pasaran serantau," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Minggu Saham Amanah Malaysia 2010 di sini.
Pada awal dagangan pagi ini, ringgit diniaga ke paras tertinggi RM3.0050 sejak Ogos 1997 berbanding dolar AS disebabkan sentimen dan spekulasi kenaikan kadar faedah oleh BNM.
Sebelum ringgit ditambat kepada RM3.80 berbanding dolar AS pada 1997, nilai matawang tempatan itu berlegar pada kedudukan RM2.50.
Bagaimanapun, Zulkifli berkata, peningkatan ringgit itu turut berpunca daripada kedudukan nilai dolar yang masih lemah berikutan pembelian bon-bon perbendaharaan atau Quantitative Easing (QE).
''Meskipun ekonomi AS sedang menunjukkan ke arah pemulihan tetapi kita tidak pasti sama ada keadaan itu berlaku kerana sokongan perbelanjaan domestik atau kerajaan.
''Tetapi, apa yang kita lihat sekarang ia banyak disebabkan oleh perbelanjaan Kerajaan Amerika Syarikat," tambah beliau.
Pada masa yang sama Zulkifli berkata, walaupun pasaran tempatan dijangka menerima kemasukan lebih banyak dana asing tetapi pasaran serantau termasuk Malaysia perlu berhati-hati.
Ini kerana, AS dipercayai akan mula menaikkan kadar faedahnya pada tahun depan.
''Kalau ia berlaku (kenaikan faedah AS), pasaran serantau akan menerima kesan pengeluaran dana secara besar-besaran dengan tiba-tiba seperti yang berlaku pada 2008.
''Jika ia berlaku, Malaysia turut akan menerima implikasinya termasuk kemungkinan kejatuhan pasaran saham," jelas beliau.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Kepergok Pocong [Indo] (2011) VCDRip MKV