Datuk Kadir direman tiga hari untuk bantu siasatan

Datuk Kadir direman tiga hari untuk bantu siasatan

 

 


 



 

 

 

 


 

 

 

KOTA BHARU 25 Julai - Polis menahan reman seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan untuk menipu beberapa mangsa membabitkan kerugian lebih RM125,000, mulai hari ini.
Perintah tahanan reman selama tiga hari itu dikeluarkan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen di sini, Rashid Mustafa bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, suspek yang berasal dari Sawarak selain memperkenalkan dirinya sebagai 'Datuk Kadir' direman bagi membantu siasatan polis.
"Suspek direman sehingga Rabu ini kerana memiliki peralatan yang dibekalkan kepada pegawai polis serta menggunakannya tanpa kebenaran.
"Selain itu, dia juga disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 420 akta sama kerana menipu," katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun kerana menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat asisten supritendan dan turut menipu beberapa mangsa.
Dia ditahan kira-kira pukul 3 petang Khamis lalu ketika memandu kereta Toyota Alphard di Jalan Long Yunus di sini, hasil maklumat orang awam.
Berikutan penahanan lelaki itu, polis turut menemui beberapa peralatan menyamar serta beberapa keping gambarnya yang lengkap berpakaian seragam polis di rumahnya di Tanjung Chat dekat sini. Turut ditemui, jaket keselamatan tertera logo polis dan wang tunai RM2,619 dalam kenderaannya.
Suspek dikatakan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dalam kes yang sama termasuk di Kuala Lumpur dan Selangor, malah dia baharu dibebaskan daripada penjara beberapa bulan lalu.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin