Amanat Presiden UMNO pendekatan terbaik

Amanat Presiden UMNO pendekatan terbaik


Najib Tun Razak (tengah) turut menyanyikan lagu UMNO pada Majlis Amanat Presiden Parti kepada Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Naib Presiden UMNO (dari kiri) Mohd. Shafie Apdal, Hishammuddin Tun Hussin dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahmad Maslan dan Rosnah Abdul Rashid Shirlin (kanan). - bernama


KUALA LUMPUR 20 Nov. - Amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Pemuda dan Puteri UMNO hari ini merupakan satu suntikan motivasi memandangkan pengundi muda adalah faktor penentu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, amanat yang disampaikan Presiden khas kepada Pemuda dan Puteri itu merupakan satu program yang julung kali diadakan bagi mengingatkan kepada ahli parti generasi muda tentang pelbagai perkara terutama berhubung perpaduan di semua peringkat parti.
"Pada kebiasaannya, apabila Perhimpunan Agung UMNO, tidak ada ruang untuk Presiden bertemu dengan semua perwakilan terutama yang muda. Namun pada program kali ini ia membolehkan generasi muda mendengar sendiri mesej yang disampaikan oleh Presiden secara menyeluruh," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Presiden Kepada Pemuda dan Puteri UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata, peranan sayap Pemuda dan Puteri begitu penting sekali dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
"Oleh sebab itu, Presiden telah menekankan bahawa di dalam PRU-13 nanti, golongan muda mesti memikirkan perkara yang lebih besar, isu berhubung kait relevannya parti kita serta betapa penting mereka sebagai pemimpin masa depan selain keperluan untuk memahami bagaimana betapa sukar untuk memimpin dalam konteks parti, lebih-lebih lagi dalam masyarakat majmuk," katanya.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pula berkata, amanat Presiden itu menunjukkan bahawa semua ahli parti terutama orang muda perlu menyediakan diri sebagai jentera serta bala tentera kepada parti terutama bagi menawan semula negeri-negeri yang kalah pada pilihan raya umum lalu.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, amanat yang julung kali diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO itu merupakan permintaan khusus kedua-dua sayap parti bagi memberi suntikan motivasi, memandangkan pengundi muda merupakan faktor penentu dalam PRU13.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula berkata, apa yang disampaikan oleh Najib itu menjadi panduan kepada golongan muda yang berada di dalam parti bagi menghadapi PRU13 yang boleh memberikan impak kepada sokongan generasi muda untuk kembali menyokong UMNO dan BN.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin