Amukan basikal hasil 4 emas
Amukan basikal hasil 4 emas
JAKARTA - Pelumba negara 'mengamuk' pada hari terakhir acara basikal trek di Velodrom Rawamangun di sini, apabila menghasilkan empat pingat emas, semalam.
Watak utama di sebalik kejayaan besar skuad basikal negara diterajui ratu pecut wanita Fatehah Mustapa yang memenangi dua pingat emas, masing-masing dalam acara pecut individu dan berpasukan bersama Ju Pha Som Net.
Ia merupakan pingat emas ketiga Fatehah setelah juga memenangi pingat emas dalam acara 500 meter ujian masa individu wanita pada hari pertama saingan.
Dua lagi pingat emas semalam diraih Idros Yunos dalam acara pecut individu lelaki manakala Muhamad Hafiz Mohd. Sufian memenangi Omnium.
Selain kilauan emas, pingat perak berjaya diraih oleh Mohd. Fattah Amri Zaid (pecut individu lelaki) dan Muhamad Adiq Husainie Othman dalam acara 30 kilometer perlumbaan mata.
Pingat emas acara tersebut dimenangi pelumba Filipina, Renee Mier Lohn.
Dua emas yang dimenangi Fatehah semalam berakhir dengan pelumba itu rebah, sebaik acara melepasi garisan penamat dalam acara pecut berpasukan.
Menurut Fatehah dia terjatuh kerana amat keletihan.
"Sebelum acara ini bermula lagi saya memang berasa tidak sihat.
"Namun kerana mahu memberikan pingat emas kepada negara, saya cuba memberikan yang terbaik dan saya amat gembira kerana akhirnya berjaya mencapai apa yang saya impikan walaupun dalam keadaan terlalu penat," kata Fatehah.
Sementara itu, Muhamad Hafiz yang memenangi acara Omnium berkata, kejayaan membawa pulang emas mungkin rezeki untuk isteri dan bakal anak sulungnya.
"Ia pingat emas yang mengejutkan kerana ini adalah aksi pertama saya dalam acara Omnium. Sebelum ini saya hanya menyertai acara pecut, 1 kilometer dan keirin.
"Pingat emas ini mungkin hadiah buat anak sulung saya yang dijangka lahir pada Januari ini," katanya.
Skuad basikal trek negara menamatkan saingan dengan tujuh pingat emas keseluruhan. - Utusan
Comments
Post a Comment