KULN perlu guna kelebihan bantu pelajar Malaysia
Menteri Belia dan Sukan yang juga Pengerusi KULN, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, ini kerana kelab itu mempunyai rangkaian yang begitu pantas dan berkesan bagi menghulurkan bantuan dengan segera kepada pelajar Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Rangkaian mereka dari segi menghubungi pelajar satu dunia lebih kuat,kerajaan pun tak dapat mengatasinya, maknanya kerajaan ada Jabatan Penuntut misalnya di United Kingdom mungkin hanya dua atau tiga (orang)...manakala sistem kedutaan hanya wujud di ibu kota.
“Tapi KULN ada 74 di satu dunia, di bandar-bandar kecil pun ada, sekecil-kecil St Petersburg (Russia) pun ada,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kursus Kepimpinan KULN: ‘Transformasi KULN’, di sini semalam.
Ahmad Shabery berkata, jika dahulu KULN yang bertindak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seringkali dianggap sebagai agenda politik tetapi kini persepsi itu sudah semakin berubah apabila peranannya kepada pelajar Malaysia semakin terserlah.
Terdahulu semasa berucap, Ahmad Shabery menggesa para pelajar Malaysia di luar negara supaya meneruskan usaha menimba pengetahuan serta pengalaman untuk menjadi pemimpin yang disegani serta berkualiti berdasarkan prinsip perjuangan yang diamalkan UMNO sendiri.
Katanya, semua ahli KULN juga seharusnya menghayati konsep transformasi negara yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia bagi membolehkan mereka berhadapan dengan cabaran dunia yang semakin liberal dalam banyak perkara.
“Sekarang mereka perlu lebih bersedia untuk mempunyai kelebihan dan kekuatan dari segi intelektual, dari hujah, gerak kerja, kebajikan dan juga kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata, proses itu juga akan menjadikan generasi muda pada hari ini sebagai pemimpin yang diyakini rakyat Malaysia tanpa perlu lagi hanya bergantung harap kepada pemimpin generasi terdahulu.
Comments
Post a Comment