Logam berbahaya dalam air lumrah

Logam berbahaya dalam air lumrah

KOTA BHARU 20 Nov. - Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) mendakwa kemunculan bakteria dan logam berbahaya dalam air adalah sesuatu yang lumrah dan ia berlaku di semua negeri dan bukan di Kelantan sahaja.
Pengurus Besar AKSB, Ir. Mohamad Hanapi Mahmud berkata, syarikat perkhidmatan air di semua negeri berhadapan dengan situasi serupa dan apa yang sentiasa dilakukan adalah pemantauan berkala oleh syarikat dan Kementerian Kesihatan terhadap tahap keselamatannya.
"Kalau betul air di Kelantan sekotor sebagaimana digambarkan, sudah lama habis mati semua rak-yat negeri ini," katanya ketika diminta mengulas laporan muka hadapan Mingguan Malaysia hari ini.
Mingguan Malaysia hari ini mendedahkan data rasmi Panduan Industri Air Malaysia 2011 mengenai bekalan air bersih di seluruh negara mendapati Kelantan menduduki tempat paling bawah sehingga dilabelkan sebagai negeri yang memiliki air kurang selamat dan berisiko.
Kementerian Kesihatan menerusi uji kaji berasingan bagi tempoh 2008-2010 juga mendapati air di negeri Kelantan mengandungi arsenik, raksai, mangan dan plumbum, iaitu logam-logam yang kesemuanya boleh memudaratkan kesihatan termasuk mengakibatkan kanser.
Mohamad Hanapi berkata, jika benar air yang dirawat AKSB seburuk seperti dipaparkan, sudah tentu Kementerian Kesihatan tidak akan berdiam diri dan mengambil tindakan menutup operasi loji rawatan.
"Kementerian Kesihatan sentiasa mengambil dan mengkaji contoh air secara berkala dari loji dan paip agihan manakala operator air seperti AKSB akan segera bertindak apabila pihak kementerian melaporkan wujud elemen berbahaya dalam air," katanya.
Mohamad Hanapi mengakui pihaknya pernah mengalami situasi seperti kewujudan bakteria E.coli dikesan dalam air yang dirawat, namun perkara itu tidak pernah dibiarkan.
Katanya, masalah yang berlaku akibat kekurangan klorin itu sentiasa dipantau kerana klorin adalah bahan yang mudah 'hilang' secara semula jadi misalnya melalui proses pemeluwapan.
"Berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan, kami menambah residual klorin mengikut kadar yang sesuai untuk membunuh kuman kerana perlu diingat jumlah yang berlebihan akan menyebabkan air menjadi seperti cecair peluntur pula," katanya.
Tambahnya, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan kualiti air terutama di loji-loji lama dan meluaskan lagi liputan kepada penduduk meskipun berhadapan dengan kekangan kewangan dan masih bergantung kepada pinjaman RM600 juta yang diluluskan pada Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8).
Sehingga hari ini, katanya, kualiti air yang dirawat AKSB dijamin selamat dengan 85 peratus daripada yang dikeluarkan tidak melanggar indeks kualiti air ditetapkan kerajaan.
Dalam masa sama, Mohamad Hanapi menyatakan kehairanan dengan laporan yang dibuat akhbar ini yang merujuk Panduan Industri Air Malaysia (PIAM) 2011 kerana katanya data tahunan itu belum dikeluarkan lagi.
"PIAM 2011 hanya akan diterbitkan tahun hadapan, jadi macam mana Kelantan sudah boleh diumumkan sebagai negeri memiliki air kurang selamat dan berisiko," soalnya.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin