Lynas pasang alat bacaan radiasi bukti ketelusan
Lynas pasang alat bacaan radiasi bukti ketelusan
KUANTAN 20 Nov. - Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) memasang dua unit alat khas yang dikenali sebagai Aerosol Monitoring System (AMS) di tapak kilang tersebut di Gebeng bagi memantau kualiti udara termasuk tahap pencemaran radiasi.
Pengarah Urusannya, Datuk Mashal Ahmad berkata, sebuah lagi alat tersebut yang bernilai RM700,000 setiap satu akan dipasang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan tidak lama lagi.
"Operasi alat ini dipantau Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) bagi membuktikan ketelusan kami. Orang ramai pada bila-bila masa boleh mengetahui bacaan alat ini termasuk secara dalam talian.
"Menerusi alat itu, mereka boleh ketahui sendiri yang operasi kami kelak tidak mendatangkan bahaya seperti mana ditohmah pihak-pihak tertentu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan taklimat kepada media mengenai perkembangan terkini kilang tersebut di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini kelmarin.
Katanya lagi, alat berkenaan akan mencatat bacaan radiasi setiap 10 minit dan berkeupayaan menganalisis dalam bentuk gambar dan data.
Mashal berkata, alat pemantau khas itu berupaya mengesan segala jenis bahan radioaktif yang terdapat dalam udara dan orang ramai khususnya penduduk boleh datang sendiri untuk melihat bacaan yang dicatatkan alat itu.
"Sebenarnya tiada keperluan untuk kami buat demikian, namun untuk memastikan masyarakat tidak terus dikelirukan oleh pihak tertentu, maka kami melakukannya," ujarnya.
Justeru katanya, jika masih ada pihak yang tidak berpuas hati dengan operasi kilang itu nanti, Lynas bersedia pada bila-bila masa untuk berdialog dengan mereka sekiranya kumpulan itu benar-benar ikhlas untuk memahami serta mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.
"Tiada apa yang perlu kami sembunyikan. Kami bercakap berdasarkan fakta dari pakar-pakar yang berkaitan," katanya.
Comments
Post a Comment