NGO desak kerajaan negeri baiki kualiti bekalan air

NGO desak kerajaan negeri baiki kualiti bekalan air

 

 

 

 

 

 

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pengguna di negara ini mendesak supaya kerajaan Pas negeri Kelantan mengambil tindakan segera bagi memperbaiki kualiti bekalan air di negeri itu.
Ini kerana NGO-NGO berkenaan bimbang rakyat di negeri itu akan berterusan teraniaya apabila terpaksa menerima bekalan air yang tidak bersih dan mengancam kesihatan.
Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, isu bekalan air tidak bersih sudah lama berlarutan di Kelantan dan kerajaan negeri sepatutnya sudah mengambil inisiatif bagi menyelesaikan masalah itu.
“Apa yang kita lihat sekarang, kerajaan negeri tidak prihatin terhadap pengguna di Kelantan dan tidak pernah mengambil inisiatif. Kita kecewa dengan kerajaan negeri Kelantan kerana tidak mengatasi isu yang merupakan satu keperluan bagi semua orang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mohd. Firdaus berkata, pihaknya sebelum ini telah menerima banyak aduan daripada PPPM cawangan Kelantan mengenai masalah yang dihadapi para pengguna air di negeri itu.
“Aduan-aduan itu telah diajukan kepada kerajaan Pusat namun tindakan tidak dapat dilakukan kerana ia membabitkan pengurusan air di bawah kerajaan negeri. Kerajaan negeri terlalu angkuh untuk berbuat sesuatu mengenai isu ini.
“Jadi kita anggap pengguna air di Kelantan kini teraniaya akibat sikap kerajaan negeri itu. Walaupun kerajaan Pusat banyak membantu tetapi kerajaan negeri tidak mengambil peduli akan isu ini,” katanya.
Mohd. Firdaus turut terkejut dengan laporan bahawa bakteria E.coli turut terkandung di dalam sampel air yang dibekalkan ke rumah-rumah oleh pihak yang bertanggungjawab.
“Jika keadaan seperti ini berlaku, air yang disalurkan bukan sekadar untuk keperluan rakyat tetapi akan turut menyalurkan penyakit kepada pengguna,” katanya.
Desakan sama turut disuarakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mahu pihak bertanggungjawab supaya tidak mengabaikan kepentingan pengguna air di negeri itu.
Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, tindakan harus diambil terhadap pembekal air di negeri itu kerana didapati menyalurkan air terawat yang kurang berkualiti kepada rakyat di Kelantan.
“Sebab itu di peringkat pengurusan kerajaan negeri, mereka perlu menilai penyaluran air itu sebelum ia sampai ke rumah-rumah. Uji kaji secara berterusan perlu dibuat bagi memastikan air yang sampai itu adalah bersih,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri juga perlu memainkan peranan memberi pendidikan kepada pengguna mengenai penggunaan air daripada sumber seperti perigi atau sungai dan bukan hanya tahu berceramah mengenai politik kepada rakyat semata-mata, tanpa mempedulikan aspek kebajikan serta kesihatan.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin