Produk hiliran tambah pendapatan


KEROPOK lekor antara makanan berasaskan ikan yang menjadi kegemaran ramai.


SELAIN inisiatif pembangunan aktiviti nelayan dan menambah baik industri perikanan negara, tumpuan turut diberi terhadap program penghasilan produk hiliran.
Justeru Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah melaksanakan program Pembangunan Usahawan dan Pusat Pemprosesan Hasil Perikanan (PPHP).
PPHP menyasarkan matlamat meningkatkan ekonomi dan pendapatan Persatuan Nelayan melalui penghasilan produk nilai tambah.


Menerusinya, LKIM akan memberi sokongan dan galakan kepada persatuan yang ingin menyertai bidang berkenaan dengan penyediaan bantuan mesin, peralatan dan menaiktaraf premis.
Ia selaras dengan fungsi PHPP sebagai pusat pengeluaran produk hiliran komersial yang berdaya saing bagi menembusi pasaran antarabangsa.
Bermula 2007 hingga 2010, seramai 277 usahawan baru berjaya dibangunkan menerusi PHPP selain lapan usahawan naik taraf melalui Projek Berimpak Besar.
Pada 2010 pula, beberapa produk hiliran daripada sektor perikanan menerima pensijilan halal dan dikomersialkan menerusi inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Menerusi program sama juga, sebanyak 831 peluang pekerjaan diwujudkan. Secara tidak langsung ia membantu isteri dan anak-anak nelayan memperolehi pendapatan menerusi aktiviti industri asas tani.
Antara produk dihasilkan adalah keropok lekor, keropok keping, ikan kering, ikan bilis, udang kering, belacan, otak-otak, sata, bebola ikan dan kek ikan.
Melihat projek PHPP pada 2010, ia menunjukkan prestasi memberansangkan daripada segi pengeluaran dan pendapatan.
Bagi pencapaian keseluruhan PPHP, tahun 2010 mencatatkan nilai jualan berjumlah RM5.07 juta dengan pengeluaran mencapai 990 tan metrik.
Bagi memastikan program PHPP berjalan lancar seperti dirancang, LKIM menganjurkan 24 siri kursus sepanjang 2010 dan 16 siri kursus pada 2011.
Ia dilaksanakan di bawah peruntukan kewangan Kumpulan Wang Pembangunan (KWP) dan Program Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).
Kursus berkenaan dijalankan menerusi beberapa kaedah seperti ceramah, penerangan, perbincangan, simulasi dan latihan.
Satu lagi projek penambahbaikan produk hiliran yang dijalankan LKIM adalah Groom Big yang memberi fokus kepada aktiviti pembungkusan dan penjenamaan.
Groom Big akan membantu para usahawan menganalisa kekuatan dan kelemahan sesuatu produk.
Melaluinya, mereka bakal mempelajari kaedah membungkus produk dan terlibat secara langsung dengan aktiviti pemilihan reka bentuk serta percetakan pembungkusan.
Selepas melalui kursus, usahawan akan diberi peluang memberi sumbangan idea terhadap konsep pembungkusan yang diinginkan.
Pada masa sama, LKIM akan turut memberi khidmat nasihat daripada segi pelabelan dan pengurusan analisis nutrien sebagai memenuhi kehendak Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Program tersebut sangat berkesan kerana melalui penjenamaan, produk usahawan mampu menembusi pasar raya besar sekali gus meningkatkan jualan.
Melihat daripada sudut promosi, LKIM telah membelanjakan RM80,000 untuk melaksanakan 13 program promosi yang melibatkan usahawan-usahawan persatuan nelayan.
LKIM juga memperkenalkan galeri pengumpulan dan jualan produk usahawan di setiap negeri dikenali sebagai Fishpro Gallery untuk membantu usahawan memasarkan produk mereka.
Operasi galeri berkenaan kemudiannya akan dibuka kepada Persatuan Nelayan Negeri (PNN) atau Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan mana-mana agen pemasaran yang berminat.
Sebanyak RM347,000 telah diperuntukkan LKIM bagi membangunkan 11 buah FishPro Gallery.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin