Rangka kerja wujudkan FTA ASEAN+1

Rangka kerja wujudkan FTA ASEAN+1

 

 

NUSA DUA, BALI 20 Nov. - Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 yang berakhir semalam bersetuju menyediakan rangka kerja ke arah mewujudkan Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) Asia Timur yang menggabungkan 10 negara ASEAN dan enam rakan dagangnya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, rangka kerja itu juga akan mengambil kira kepentingan ASEAN dan memastikan ‘pemusatan ASEAN’ dalam kewujudan FTA ASEAN+1 itu.
Katanya, sidang itu dalam memperakukan Rangka Kerja Serantau bagi Kerjasama Ekonomi Komprehensif telah mengambil maklum cadangan-cadangan rakan dialognya China dan Jepun untuk memperluaskan integrasi ekonomi kawasan Asia Timur.
Turut diperakukan ialah Rangka Kerja Pembangunan Ekonomi Saksama bagi memastikan integrasi ekonomi memanfaatkan seluruh rakyat di rantau ASEAN dan merangkumi inisiatif baru seperti kiriman wang antarabangsa dan akses pembiayaan kepada semua.
Beliau menegaskan, sebarang keputusan untuk menyatukan semua rakan dialog dalam satu FTA akan terus mengekalkan peranan ASEAN bagi menjamin kepentingan 10 negara anggotanya.
‘‘Tiga kumpulan kerja ditubuhkan hasil cadangan Jepun dan China bagi meneliti butiran-butiran terperinci modaliti bagi integrasi ekonomi yang melibatkan kesemua rakan perdagangan FTA ASEAN,’’ katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tiga kumpulan kerja itu melibatkan Kumpulan Kerja Perdagangan, Kumpulan Kerja Sektor Perkhidmatan dan Kumpulan Kerja Pelaburan.
Katanya, semua kerja berkaitan untuk memperluaskan integrasi ekonomi kawasan Asia Timur itu melalui FTA ASEAN+1 akan dimuktamadkan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 yang dijadualkan November tahun depan.
Ketika ini, FTA ASEAN mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas dengan rakan-rakan dialognya iaitu China (2005), Korea (2006), Jepun (2009), India, Australia dan New Zealand (2010).
Amerika Syarikat dan Rusia pula merupakan rakan dialog baru yang dijangka mampu memperkukuhkan lagi perdagangan di rantau ini.
Dalam mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) di sini Rabu lalu, pegawai-pegawai kanan ekonomi ASEAN juga diarah mengkaji manfaat ekonomi serta implikasi jika Hong Kong diterima menyertai FTA ASEAN-China.
Mustapa berkata, sebagai sebuah pelabuhan bebas dan hab logistik serantau serta mempunyai infrastruktur dan rangkaian perhubungan udara, laut dan darat yang baik, Hong Kong boleh memainkan peranan penting dalam rantaian perdagangan global dan serantau.
Hong Kong telah memohon untuk menyertai Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China.
Mustapa berkata, mesyuarat AEM juga menyedari bahawa Hong Kong adalah rakan kedua terbesar bagi ASEAN pada 2010 dengan pertumbuhan tahunan purata 8.2 peratus bagi tempoh 2006-2010.
Singapura, Malaysia, Thailand dan Filipina adalah antara 20 rakan dagangan utama Hong Kong.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin