ATSB perkasa teknologi satelit
ANTARA sedar dan tidak atau pun kita tidak ambil tahu atau, Malaysia sebenarnya telah lama berkecimpung dalam industri satelit.
Beberapa siri satelit komersial di bawah MEASAT, kemudian TiungSAT-1 dan kini RazakSAT® membuktikan Malaysia tidak ketinggalan dalam membangunkan teknologi satelit untuk kegunaan sendiri.
RazakSAT®, satelit remote sensing pertama negara dilancarkan pada 2009, sebagai kesinambungan kepada generasi TiungSAT-1 seterusnya.
Kini beberapa perkembangan terbaru dalam industri satelit tempatan menandakan negara semakin melangkah ke hadapan dalam pembangunan industri teknologi tinggi.
Sebagaimana yang diketahui umum, pembangunan RazakSAT-2, generasi remote sensing kedua telah diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili pada 20 Disember 2009.
Beliau membuat pengumuman tersebut pada mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia serta di bawah perlaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) ketika membuat lawatan kerja di pejabat Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB® ) pada 8 September lalu.
RazakSAT-2 sedang melalui proses pengurusan nilai berperingkat selaras dengan perlaksanaan program di bawah transformasi ekonomi kerajaan. Pembangunan modal insan turut dipertingkatkan
Ia dilihat sebagai kesinambungan untuk memperkasa industri angkasa negara setelah kejayaan satelit RazakSAT® yang menjadi satelit remote sensing pertama di dunia mengelilingi orbit hampir khatulistiwa berjaya dilancarkan di Kwajalein Atoll, Amerika Syarikat pada 14 Julai 2009 .
Pada 12 Julai 2010, ATSB® telah mendapat pengiktirafan ISO9001:2008 oleh DQS GmbH Malaysia yang masih menjadi peneraju unggul untuk sektor bidang angkasa lepas dan teknologi satelit di rantau Asia Tenggara.
Pengerusi ATSB, Datuk Noraini Ahmad telah merasmikan Pusat Inovasi (SIC) pada 1 Mac lalu sebagai pusat kecemerlangan untuk kerja-kerja kejuruteraan dan mereka bentuk sistem satelit.
Pusat SIC tersebut mempunyai platform satelit bagi mengintegrasi kemudahan dan kelengkapan dengan muatan.
Ia juga melibatkan bilik bersih yang mempunyai tahap bersih kelas 10,000 dan 100,000 yang menjadikan ia sebagai kemudahan integrasi satelit terunggul di Asia Tenggara.
Naib Presiden Kanan, Bahagian Sistem Angkasa ATSB, Norhizam Hamzah ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini berkata, kesemua aspek dari segi reka bentuk, ujian, pelancaran dan pengoperasian satelit dijalankan untuk kerajaan .
Ini kerana ia adalah aset strategik negara dari sudut geostrategik iaitu menerusi aplikasi untuk tujuan pemantauan, pertanian, perikanan, pembangunan bandar dan luar bandar dan sebagainya.
Ahli penyelidik masih membuat analisis dan kajian mewujudkan aplikasi nilai tambah imej RazakSAT® agar ia dapat dimanfaatkan oleh agensi berkaitan.
Sebagai contoh, pemetaan klorofil sebagai salah satu proses nilai tambah yang mampu mengenalpasti lokasi plankton bagi menentukan kedudukan kumpulan ikan pelagik berupaya membantu meningkatkan hasil tangkapan para nelayan.
Ia masih di peringkat kajian oleh penyelidik di Universiti Malaysia Trengganu (UMT).
Kejayaan satelit berkenaan dilancarkan ke angkasa tidak semestinya menghentikan pembangunan projek satelit kerana kepakaran sedia ada tidak dimanfaatkan.
Comments
Post a Comment