Robot jelita yang boleh berkata-kata
Jika dahulu robot adalah mesin-mesin yang bergerak mengikut arahan komputer bagi menyelesaikan sesuatu tugasan yang rumit, tetapi kini ia menyerupai manusia dan boleh berkata-kata.
Fenomena robot 'hidup' itu kini semakin berkembang di Jepun. Ia digunakan secara meluas untuk pelbagai tujuan seperti menjaga kaunter maklumat dan sebagai pemandu pelancong.
Itu kelebihan yang terdapat pada robot wanita bernama Actroid yang telah dicipta oleh sebuah syarikat pembangunan robotik di Jepun - Kokoro Company Limited.
Nama Actroid adalah gabungan dua perkataan iaitu Actor (pelakon) dan Android (teknologi yang digunakan).
Hasil usaha keras dan kerjasama para jurutera Jepun, Actroid berjaya dihasilkan menerusi kombinasi beberapa bidang utama iaitu sains, teknologi dan artistik seperti biologi serta anatomi.
Bagi mereka yang pertama kami bersemuka dengan robot pintar ini pasti akan menyangka ia adalah manusia sebenar.
Binaan artistik robot Actroid ini yang sangat terperinci sehingga ia hampir menyamai manusia.
Kesempurnaan itu dapat dilihat pada perjalanan otot anggota badan yang lembut dan lancar seperti kelipan mata dan pergerakan mulut ketika bertutur.
Antara bahagian tubuh yang paling ketara menyamai manusia adalah rambut, mata, gigi, tangan, kaki, bentuk tubuh dan dandanan termasuk juga suara.
Bentuk badannya pula dibina dengan penuh teliti dengan setiap sudut dan aspek dipastikan menyerupai manusia sebenar.
Untuk bahagian tangan, ia menggabungkan dua mekanisme utama iaitu komponen mekanikal bagi tujuan pergerakan dan bahagian luarnya diperbuat daripada material lembut.
Bagi mewujudkan kesan pergerakan otot di bahagian lengan, silinder tekanan udara digunakan sebagai penyambung.
Keunikan lain yang terdapat pada Actroid ialah, kulitnya dihasilkan daripada bahan silikon yang sama seperti yang digunakan dalam bidang perubatan kulit.
Untuk bahagian di sekeliling mulut pula satu lengkungan khas telah dibina.
Ia bagi membolehkan Actroid melemparkan senyuman dan mengeluarkan pelbagai ekspresi secara natural.
Bagi operasi pergerakan dan memberikan tindak balas, Actroid akan melalui proses ujian percakapan di dalam studio khas.
Ia bertujuan memastikan apa yang ditutur selari dengan pergerakan badan dan tangannya.
Orang ramai yang ingin berinteraksi dengan Actroid perlu bercakap menggunakan mikrofon pada kotak operasi yang terletak bersebelahan sebelum menerima sebarang respons daripadanya.
Actroid boleh ditemui pada pameran Encyclopedia of The Actroid di Pusat Sains Negara (PSN) yang bertujuan mendedahkan teknologi robotik kepada rakyat negara ini terutama para pelajar.
"Matlamatnya ialah membawa masyarakat terutama pelajar sekolah dan universiti untuk mengenali dan mendekati bidang sains robotik.
"Ia dilihat bakal memberi dimensi baru dalam penyediaan program serta aktiviti PSN secara lebih dinamik sekali gus menawarkan para pengunjung pameran berkualiti dan bertaraf antarabangsa.
"Pameran ini cukup lengkap merangkumi bidang kejuruteraan mekanikal dan seni halus serta disampaikan secara interaktif dan mudah difahami.
"Memandangkan tahun ini merupakan tahun penggalakan sains, jadi pameran seumpama ini sangat menepati hala tuju PSN untuk mencetus minda imaginatif dan inovatif terhadap golongan muda," kata, Pengarah PSN, Prof. Madya Dr. Irmawati Ramli.
Comments
Post a Comment