Cabaran graduan usahawan tani


Saifuddin Abdullah mencuba salah satu hasil tanaman yang dijual oleh pelajar di Karnival Siswatani 2011, di UPM, Serdang, Selangor baru-baru ini.


SEKTOR pertanian di negara ini kebiasaannya hanya dipelopori oleh para petani secara kecil-kecilan malah bidang ini kurang diminati oleh segolongan besar rakyat walaupun ia mampu memberikan pulangan yang amat lumayan.
Menyedari kesedaran di kalangan rakyat negara ini kurang didalam bidang pertanian, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Cabaran Siswatani 2011.
Disokong oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), ia berkonsepkan pertandingan yang nyata berdasarkan realiti bidang pertanian sebenar.
Menurut Timbalan Pengerusi DPMMS, Zulkifly Ali, tujuan program tersebut adalah untuk mendedahkan pelajar terutamanya di institusi pengajian tinggi (IPT) kepada landskap sebenar tentang perniagaan tani tempatan.
"Objektif pertandingan atau program ini adalah untuk memberi pengalaman praktikal tentang kaedah pengurusan ladang yang realistik.
"Selain itu ia juga bertujuan untuk menilai kebolehan pelajar-pelajar mengawal mikro ekonomi pengurusan ladang untuk mengoptimumkan keuntungan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di UPM, Serdang, Selangor, baru-baru ini.
Jelas beliau lagi, untuk merealisasikan program tersebut DPMMS memerlukan peserta dan antara fakulti yang memberikan maklum balas adalah Fakulti Pertanian, UPM, Serdang.
DPMMS berfungsi sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan sokongan dari segi kewangan dari segi tajaan hadiah dan nasihat kepada fakulti.
Manakala Fakulti Pertanian menyediakan pelajar serta program selama satu semesta (empat bulan) kepada para pelajar yang berminat.
Menurut Pensyarah, Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, UPM, Dr. Hawa Ze Jaafar, program tersebut telah lama ditawarkan oleh fakulti namun sebelum ini ia hanya dijalankan sebagai sebahagian daripada program akademik.
"Kehadiran DPMMS hanya sebagai pemangkin dan platform kepada pelajar untuk menonjolkan minat mereka dalam usahawan tani," ujarnya.
Ujar Dr. Hawa Zee, bagi sesi kali ini seramai 140 orang dan mereka dibahagi kepada beberapa kumpulan.
Setiap kumpulan akan diberi tugasan dan melaksanakan beberapa projek yang telah dikenal pasti iaitu projek penanaman jagung, penternakan ayam kampung, penanaman buah-buahan secara fetergasi dan juga projek akuakultur.
Para peserta juga diselia oleh pensyarah keusahawanan pertanian, pakar rujuk (pensyarah bidang berkaitan) dan pegawai sokongan teknikal dalam bidang keusahawanan pertanian.
"Sepanjang program ini berlangsung peserta dikehendaki juga dikehendaki melakukan pembentangan dan mengaplikasikan ilmu pemasaran dalam skala yang kecil," katanya.
Pada akhir program tersebut, satu aktiviti kemuncak yang dikenali sebagai Karnival Siswatani diadakan bagi meraikan para peserta oleh Timbalan Menteri Kementerian Pengajian TInggi (KPT), Datuk Saifuddin Abdullah.
Karnival yang bertemakan Siswa Pemacu Perniagaan Tani tersebut juga memberi peluang kepada para peserta untuk menjual segala produk yang telah ditanam, dipelihara mahupun yang diternak oleh mereka.
Menurut Saifuddin, karnival tersebut jelas sekali sejajar dengan matlamat pihak kerajaan untuk melahirkan siswa usahawan melalui program secara berterusan seperti yang telah digariskan di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) serta Model Ekonomi Baru (MEB).
Ujarnya, karnival sedemikian merupakan julung-julung kali diadakan sempena dengan program pertandingan 'Kehidupan Seorang Agropreneur' yang melibatkan wakil-wakil daripada KPT, MOA, UPM dan DPMMS.
"Ini menggambarkan ikatan yang sedang dibina di antara institusi milik kerajaan dengan badan korporat ke arah melahirkan warga siswa yang bercirikan keusahawanan di bidang pertanian dan makanan.
"Di bawah program ini, para pelajar didedahkan dengan sistem Pembelajaran Berpusatkan Pelajar (SCL) yang merangkumi pembentangan serta kertas kerja kajian kes usahawan dan pembentangan praktikal ladang secara berkumpulan.
"Di tambah dengan penyediaan Pelan Perniagaan di samping ujian dan peperiksaan yang merangkumi Konsep dan Teori Keusahawanan," ujarnya.
Pada karnival itu juga turut disampaikan hadiah kepada pemenang Program Cabaran Siswatani tersebut.
Juara kumpulan memenangi hadiah bernilai RM750 untuk setia kategori, tempat kedua RM500, tempat ketiga RM300, sijil penyertaan untuk setiap peserta dan Piala Pusingan untuk kumpulan terbaik keseluruhan.

P/S:TAHNIAH UPM

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin