Ezlynn pilih Sepanyol



EZLYNN berharap dapat menimang cahaya mata dalam masa terdekat ini.


SELAIN memilih konsep musim luruh di Sepanyol untuk majlis resepsi yang diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Ezlynn dan suami, Adam Fahmy turut memilih negara itu sebagai destinasi berbulan madu.
Menurut Ezlynn, Sepanyol menjadi pilihan kerana dia suka dengan suasana dan pemandangan yang cantik dan unik, selain adanya aktiviti berbasikal yang merupakan hobinya dan suami.
Katanya, mereka akan berbulan madu pada April ini dan dijangka berada di sana selama sebulan.
"Kami memang suka bercuti lama. Sebab waktu itu sahaja kami dapat melakukan aktiviti berbasikal. Kalau di Malaysia, aktiviti itu boleh dibuat sesekali sahaja kerana sibuk bekerja," katanya.
Ezlynn yang diijabkabul pada 20 November lalu di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, merupakan pasangan selebriti ketiga yang ditaja oleh Rafflesia untuk majlis resepsi.
Sebelum ini pasangan Norman Hakim dan Memey Suhaiza mendapat tajaan bernilai RM12 juta manakala model Amber Chia dan suami adalah pasangan pertama yang ditaja Rafflesia.
Pada malam penuh bersejarah itu, Ezlynn mengenakan gaun pendek warna kuning keemasan rekaan Sya Shaharani dengan hiasan kain layah rekaan Sharifah Mariam serta dipadankan dengan kasut rekaan pelakon Neelofa.
Kata penyanyi Hi Hi Bye Bye itu, dia berpuas hati dengan dekorasi dewan yang direka oleh perancang perkahwinan, Che Det kerana ia merupakan konsep yang diidamkan selama ini.
"Sejak dulu saya memang sukakan konsep ini. Tidak sangka ia mampu direalisasikan oleh Che Det. Lagipun saya suka konsep yang jarang dibuat oleh orang lain," katanya yang turut mengenakan baju warna lavender rekaan Khoon Hooi.
Jelas Ezlynn, meskipun sudah bergelar isteri, aktiviti sebagai penyanyi dan tanggungjawab Adam sebagai pengurusnya akan diteruskan seperti biasa.
Katanya, tidak ada apa yang berubah untuk sementara waktu kerana setakat ini jadual kerjanya sudah pun tersusun.
"Mungkin selepas ini kalau Adam sibuk dengan projek lain, akan ada orang lain yang bakal mengurus jadual kerjaya saya.
"Selama ini pun saya selesa bekerja dengan Adam kerana dia bukan sahaja mengurus jadual kerja, tapi turut menjaga saya. Sebab itulah dalam tempoh dua tahun sebelum bernikah, kami cuba mencari keserasian agar bila sudah berumah tangga tidak timbul masalah," katanya.
Cahaya mata
Ezlynn yang bakal tampil menerusi filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit arahan Mamat Khalid itu berkata, jika dalam waktu terdekat ini ditakdirkan hamil, dia terima dengan gembira.
Kata Ezlynn, memandangkan dia bakal mencecah usia 31 tahun pada 27 September nanti, eloklah kalau dirinya hamil dalam waktu terdekat.
"Buat apa saya nak tunggu lama-lama. Kalau Allah sudah kata rezeki saya untuk timang anak dalam waktu terdekat ini, saya terima dengan tangan terbuka.
"Kalau boleh saya nak anak lebih daripada dua. Dua lelaki dan dua perempuan. Ramai-ramai, seronok sikit. Apa pun hal itu semuanya ditentukan oleh-Nya," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin