Gelora di hati Neelofa






































































GELORA hatinya tidak mampu dibendung lagi. Tidak tertahan jiwanya saat ini. Apa yang bersarang tidak mampu diterjemah dengan kata-kata apatah lagi lima belas hari di tahun baru sudah dilewati.
Ramai yang menaruh harapan yang cukup besar kepada Neelofa Mohd. Noor. Satu nama yang masih baru tetapi cukup panas dengan pelbagai kontroversi dan spekulasi.


Ke mana sahaja dia pergi, pasti ada yang menyapa. Orang mahu tahu segala-gala tentang dirinya.
Malah sudah tidak ada sisi lain yang mampu disorok oleh Neelofa saat ini.
Berkisar tentang sisi peribadi, semuanya didedahkan. Dengan siapa dia berkawan, dengan siapa dia menjalinkan hubungan cinta sehinggalah musuh-musuh sendiri terdedah sejak bergelar anak seni. Sisi peribadi Neelofa lebih diketahui berbanding hasil kerja.
Ya, menyorot kembali lipatan sejarah 2011, tidak ada yang mampu disorokkan. Isu rampas-merampas, dikatakan bergaduh sesama artis tidak pernah lekang daripada perjalanan kerjayanya.
Semua itu diikat dan disimpan kemas-kemas sebagai sejarah yang cukup pahit untuk dikenang. Tidak ada penyesalan yang lahir dari lubuk hatinya dengan apa yang telah berlaku.
Di sebalik itu semua, nama Neelofa terus mekar sebagai bunga yang dipuja orang. Kembang dan cukup harum ketika ini, ramai yang ingin berdamping dengannya. Maka tidak hairanlah semakin ramai yang mahu mengambil Neelofa sebagai pelaris produk.
“Saya bersyukur dengan perjalanan yang cukup indah ini. Walaupun tahun lalu nama saya banyak dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, ia tidak mematahkan semangat saya.
“Sama ada suka ataua tidak sememangnya jiwa saya bergelora menantikan perjalanan seni saya tahun ini. Banyak drama dan filem yang bakal ditayangkan di pawagam dan tahun ini juga saya memulakan kerjaya sebagai pengacara Nona.
“Memang saya risau tentang penerimaan peminat kali ini. Orang banyak berkata tentang isu peribadi berbanding kerjaya. Saya mahu itu diseimbangkan,” kata anak ketiga ini.
Terima kritikan
MELEWATI satu tahun penglibatan dalam dunia seni, benarkah ada dakwaan yang mengatakan Neelofa belum benar-benar memberi impak pada bidang lakonan? Kalau melihatkan beberapa drama bersiri yang sudah menemui peminat tahun lalu, tidak banyak yang benar-benar melekat di hati peminat.
Tidak menafikan hal tersebut, dia sedar tanggapan orang tentang perkara itu.
“Memang belum ada drama yang benar-benar memberikan impak kepada saya. Kalau melihat ke belakang saya telah berlakon banyak drama bersiri. Tetapi saya bukan sebagai watak utama. Saya ambil pun hanya beberapa episod dan saya sedar orang kurang ingat.
“Ada beberapa drama yang saya lakonkan dan saya tahu kekuatannya. Insya-Allah drama Dejavu Di Kinabalu nanti akan memberi sisi lain kepada peminat yang masih skeptikal kepada saya,” luah anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini lagi.
Terbaru wajah manis Neelofa akan muncul di layar perak menerusi filem Azura. Filem yang mengangkat dirinya bersama dengan Shahrizal Jaszle itu menjadi titik tolak kepada kerjaya seni Neelofa sebagai pelakon filem.
Cukup risau dengan penerimaan peminat terhadap filem berkenaan, jelas Neelofa debaran hatinya kian kencang apatah lagi itu merupakan filem pertama lakonannya.
“Azura adalah filem pertama lakonan saya. Memang waktu tu saya sangat baru dan masih hijau. Bila ada peluang berlakon dengan Aziz M. Osman sudah tentu saya terima sebab ini filem yang besar.
“Saya harap peminat jangan membandingkan lakonan saya dengan pelakon-pelakon hebat yang lain. Sebab saya masih baru dan masih banyak kelemahan.
“Ini produk pertama saya. Penilaian setiap orang berbeza-beza dan pelbagai. Mengkritik dan menghentam adalah dua perkara berbeza. Jangan hentam tak tentu pasal sebab isu peribadi saya. Itu kurang bijak,” jelas pengacara Nona ini lagi.
Berpeluang mengendalikan Nona musim terbaru bersama Fara Fauzana, Neelofa menyifatkan itu sebagai satu peluang besar buat dirinya menempa nama sebagai pengacara baru.
Ramai yang memberikan reaksi positif apabila melihat dua episod pertama Nona bagi tahun 2012. Ramai juga yang percaya gandingan baru mereka mampu menaikkan kembali rating rancangan yang mempunyai ramai peminat.
“Saya masih baru dan masih banyak yang perlu dipelajari. Bila kali pertama muka saya keluar tv sebagai pengacara, ramai yang suka dengan cara saya mengendalikan Nona.
“Jangan lihat pada gandingan kami sahaja tetapi lihat keseluruhan kandungan rancangan ini. Saya rasa banyak pembaharuan yang produksi buat untuk peminat setia Nona.
“Lagi satu saya minta supaya jangan dibanding-bandingkan cara penyampaian kami. Setiap pengacara ada cara tersendiri dan masing-masing ada pengikut.
“Asalkan saya mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan sudah cukup baik,” katanya ringkas.
Cerita cinta
MENJADI orang cantik dan popular cukup untuk membuatkan Neelofa tidak senang duduk. Saban hari dia terpaksa melayan kerenah pelbagai ragam lelaki hidung belang yang cukup meminati dirinya.
Menganggap itu hanya asam garam dunia penuh gemerlapan, dia sering dikaitkan dengan beberapa lelaki yang cukup digilai ramai wanita.
Terbaru nama Neelofa sekali lagi terpalit apabila dikatakan menjalin hubungan cinta dengan pelakon Hans Isaac.
Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Neelofa buat kesekian kalinya menafikan hubungan cinta itu dan menegaskan antara dirinya dengan Hans hanyalah kawan biasa.
“Kami tak pernah bercinta. Kalau keluar sekali tu tak bermakna saya dan dia bercinta. Saya selalu sibuk dengan jadual penggambaran yang cukup padat dan dia juga sama. Kalau ada masa lapang barulah kami keluar tetapi tidaklah sampai bercinta.
“Saya tak peduli pun apa orang nak cakap. Apa yang penting saya mencari lelaki yang benar-benar boleh memahami diri saya. Setakat ini belum jumpa yang benar-benar berkenan di hati.
“Saya tak suka lelaki yang banyak bagi arahan. Itu tak boleh, ini tak boleh. Kalau pertama kali jumpa dah cakap macam tu, memang itulah penamatnya,” katanya yang pernah membintangi drama Jiwa & Lara.
Bercerita mengenai sisi lain pula, Neelofa masih lagi bergelar pelajar di sebuah universiti swasta terkemuka di Kuala Lumpur.
Dia yang menyasarkan untuk menamatkan pelajaran sedikit masa lagi sebenarnya cukup sibuk dengan pelbagai perancangan. Satu persatu tawaran yang diterima menyebabkan dia terpaksa membahagikan masa dengan baik.
Paling terkesan apabila dia terpaksa berlakon, belajar dan mengendali perniagaan kasut yang semakin berkembang maju itu.
“Ada sahaja tawaran berlakon yang saya terima saban minggu. Tapi saya tidak boleh menerima semua sekali memandangkan saya masih bergelar pelajar di salah sebuah pusat pengajian tinggi swasta.
“Apa yang penting saya terpaksa membahagikan masa memandangkan bermula Februari depan saya akan memulakan kelas kembali. Ini cabaran terbesar dan memang sukar untuk saya lakukan.
“Tapi ini jalan yang saya pilih dan suka atau tidak saya kena harungi juga. Saya pun tak mahu abai pelajaran sebab nak kejar kerjaya. Kalau boleh biarlah ia datang seiring dan saya berjaya dalam kedua-dua bidang serentak,” jelasnya lagi.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin