Kaji selidik UMCEDEL bukti rakyat sokong BN














PONTIAN 25 Jan. - Kepercayaan terhadap Barisan Nasional (BN) untuk terus berkuasa pada pilihan raya umum akan datang merupakan petanda baik kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, beliau yakin respons yang menyatakan sokongan kepada BN dalam kaji selidik yang dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) adalah hasil transformasi yang dilakukan oleh Perdana Menteri.
"Bermula dengan Klinik 1Malaysia, kini telah dibuka Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M) serta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), semuanya untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Desa Cemerlang (ADC) 2011 Parlimen Pontian di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian dan Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon.
Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas kaji selidik UMCEDEL yang mendapati 43 peratus daripada 2,559 responden percaya Barisan Nasional (BN) akan terus berkuasa, 39 peratus tidak pasti dan baki 18 peratus yakin pembangkang mengambil alih kerajaan.
Menurutnya, kerajaan sentiasa meneliti setiap kajian yang dibuat dan bersedia menilai semula sesuatu program yang dilakukan supaya berada pada landasan yang betul.
"Kajian terperinci adalah perlu bagi memastikan setiap program yang dijalankan benar-benar sampai ke akar umbi dan rakyat merasa puas hati dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan.
"Kita juga sentiasa mengalu-alukan setiap kajian sama ada dilakukan pihak akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana badan pemikir dan sebagainya demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin