Kemerosotan minat pelajar terhadap jurusan sains membimbangkan




































PUTRAJAYA 26 Jan. - Minat pelajar untuk mengikuti jurusan sains di sekolah semakin merosot ke tahap yang sangat kritikal, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Ini boleh membantutkan usaha kerajaan meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya pada majlis amanat tahun baru 2012 kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, kajian Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi Tahun 2020 memerlukan 60 peratus aliran sains dan 40 peratus aliran sastera, namun ia belum dicapai lagi.
"Lebih membimbangkan sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains terus menurun sehingga 29 peratus. Keadaan ini berterusan ke tahap universiti,” katanya.
Beliau berkata, pelajar yang memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melihat usaha untuk belajar dalam bidang sains tidak menguntungkan selain pembelajarannya sukar dan membosankan.
"Pelajar seharusnya membayangkan kerjaya yang menarik dan menguntungkan selepas tamat pengajian dan bergelar ahli sains,” katanya.
Mohamed Khaled meminta pengurusan tertinggi IPT melihat perkara tersebut secara serius dan merancang strategi untuk mengubah persepsi negatif pelajar.
"Pelajar cemerlang perlu diterapkan rasa keghairahan untuk mempelajari sains dan dapat merasakan kursus sains adalah suatu yang menyeronokkan serta penuh cabaran minda dan penerokaan baru. Lebih penting ialah kerjaya sains menjanjikan pengiktirafan dan pulangan yang lumayan,” katanya.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Mohamed Khaled berkata, mulai tahun ini, Kementerian Pengajian Tinggi menawarkan biasiswa baru melalui program MyBrainSc yang bertujuan menyediakan tenaga akademik berkualiti dalam bidang sains tulen di IPTA. — BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin