Perjanjian majukan sektor pertanian Sabah
SABAH telah dikenal pasti sebagai tapak perintis pelaksanaan beberapa program yang membabitkan kerjasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan kerajaan negeri.
Ia termasuk beberapa projek perintis selain projek-projek pertanian yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat dan rakyat negeri itu.
Ekoran itu beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) telah ditandatangani bagi memastikan kejayaan pelaksanaan program berkenaan.
Ia membabitkan MOSTI menerusi agensi-agensinya yang telah menandatangani MoU dan dua MoA berkenaan dengan Kerajaan Negeri Sabah.
Memorandum pertama adalah antara Mimos Berhad (Mimos) dengan Jabatan Pertanian Sabah (JPS) bagi program pembangunan perladangan pertanian tepat.
Menerusi memorandum tersebut, JPS akan menjadi penerima teknologi Rangkaian Sensor Tanpa Wayar (WSN) ) iaitu aplikasi yang dibangun bersama oleh Mimos, UPM-NEST, Kontron Design Manufacturing Services Sdn. Bhd. dan Intel Technology Sdn. Bhd.
Pusat Pertanian Tuaran telah dipilih untuk melaksanakan projek perintis itu.
Menerusi memorandum kedua, Mimos akan menyediakan teknologi semantik untuk pembangunan landasan pengurusan pengetahuan bagi Projek Penyimpanan Maklumat Perubatan Herba untuk Sabah Development Authority (Sedia).
Projek penyimpanan maklumat itu akan dihubungkan dengan pusat penyimpanan yang sama di seluruh dunia bagi membolehkan pengguna mencapai maklumat perubatan herba tempatan dan global.
MoU ketiga adalah antara syarikat Bionexus All Cosmos Industries Sdn. Bhd. dengan Sabah Softwoods Berhad melibatkan kerjasama pintar penubuhan syarikat usaha sama Sabah Softwoods Hybrid Fertiliser Sdn. Bhd. (SSHF) menerusi kemudahan yang disediakan oleh Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp).
SSHF akan membina kilang pengeluaran baja organik yang menggunakan teknologi daripada All Cosmos Industries Sdn. Bhd dengan jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM50 juta.
Majlis pertukaran dokumen disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Datuk Seri Yahya Hussin dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili.
Majlis juga turut menyaksikan dua MoA tiga hala antara Institut Agribioteknologi Kebangsaan (ABI) ,JPS dan syarikat Pure Circle Sdn Bhd (Pure Circle).
MoA juga melibatkan ABI, Pure Circle dan Koperasi Pembangunan Desa Sabah (KPDS).
Kedua-dua MoA yang dimeterai itu adalah untuk mengoptimumkan amalan agronomik beberapa variasi stevia serta mengenal pasti variasi yang sesuai ditanam dan juga dikomersialkan.
MoA itu membolehkan petani-petani stevia mendapatkan maklumat pasaran serta harga komoditi berkenaan.
Stevia merupakan sejenis tanaman yang berupaya menghasilkan pemanis bukan gula tanpa kalori melalui dua kompaun semula jadi iaitu stevioside dan Rebaudioside yang mempunyai nilai tinggi dan permintaan pasaran global yang semakin meningkat. Tahap kemanisan kompaun-kompaun ini dianggar 200-300 kali tahap manis gula.
Menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), MOSTI telah membiayai 104 projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri pertanian di Sabah yang bernilai lebih daripada RM54 juta.
Projek-projek R&D tersebut dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan Negeri Sabah seperti JPS, SEDIA, Koperasi Pembangunan Desa Sabah (KPDS), Jabatan Perikanan Sabah dan lain-lain.
Projek-projek prapengkomersilan yang dibiayai oleh MOSTI melalui dana Technofund dan projek-projek penyelidikan menerusi Science Fund di Negeri Sabah untuk teknologi pertanian dan pembangunan industri berkaitan.
Ia merangkumi projek bidang akuakultur seperti ternakan ikan spesies tempatan iaitu ikan turongou serta hasil-hasil marin yang lain seperti gamat, tiram, rumpai laut dan ikan kerapu.
Selain itu, MOSTI turut membiayai aktiviti-aktiviti di bawah Program Inno fund dan Community Innofund di negeri berkenaan sepanjang pelaksanaan RMK-9 dan juga di RMK-10.
Program Innofund bertujuan membantu menjana pendapatan perusahaan kecil dan masyarakat tempatan menerusi penggunaan teknologi dan pembangunan keusahawanan.
Program-program yang telah dilaksanakan termasuklah penanaman vanila di Kota Marudu, Minyak Kelapa Dara di Kudat dan juga penghasilan makanan ternakan dan baja organik di Penampang.
Comments
Post a Comment