Selesaikan segera isu sampah



SEORANG pekerja restoran terpaksa menutup hidung untuk mengelak bau busuk sampah di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.


SELAIN masalah sosial membabitkan kewujudan rumah urut berleluasa dan penjualan arak secara terbuka, isu sampah kini dikatakan turut mencalar kredibiliti kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor. Bagi penduduk setempat, apa yang berlaku itu menunjukkan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik.
Timbul juga persoalan, walaupun banyak aduan terhadap masalah tersebut dibuat, namun tiada penyelesaian konkrit diambil pihak terbabit.
Sekiranya ia melibatkan masalah antara kontraktor dan kerajaan negeri, mengapa pula rakyat yang terpaksa menerima kesannya!


Ikuti siasatan wartawan, TERMIZI CHE ANUAR dan jurugambar, AFIQZIKRI ZULKARNAIN berhubung isu sampah yang seolah-olah tiada kesudahan, malah semakin serius.
PETALING JAYA 25 Jan. – Kebanyakan penduduk di Selangor mendesak kerajaan negeri menyelesaikan segera masalah sampah yang dihadapi mereka sejak beberapa bulan lalu.
Walaupun banyak aduan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan, mereka mendakwa, sehingga kini masalah itu masih berterusan dan gagal diselesaikan dengan baik.
Seorang penduduk di Petaling Jaya, Muhammad Razi Abdullah berkata, dia semakin putus harapan dengan sikap ditunjukkan oleh pihak terbabit yang seolah-olah ‘lepas tangan.’
“Jika dahulu sampah diangkat mengikut jadual, tetapi sekarang keadaan jauh berbeza.
“Pernah dalam masa seminggu, hanya sekali lori datang untuk memungut sampah di kawasan perumahan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tambah Muhammad Razi, dia difahamkan masalah itu berlaku disebabkan ada di kalangan kontraktor yang bertanggungjawab memungut sampah tidak lagi menyambung kontrak mereka.
Sementara itu, seorang penduduk di Puchong, Yap Ah Kiow pula mengadu bahawa masalah sampah di kawasan perumahannya pernah tidak dipungut sehingga seminggu.
Keadaan itu menyebabkan persekitaran kawasan perumahan tersebut bukan sahaja berbau busuk malah amat menyakitkan mata memandang.
“Masalah sampah tidak dipungut sehingga berulat dan berbau sangat busuk amat membimbangkan kami, para penduduk di sini.
“Diharapkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dapat menyelesaikan masalah sampah di kawasan ini dengan segera,” katanya.
Tambah Ah Kiow, MPSJ perlu memantau kontraktor terlibat agar pemungutan sampah dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan.
Perkara sama turut diluahkan seorang lagi penduduk, Chan Chee Hor, berikutan sampah di hadapan rumahnya dibiarkan tanpa dipungut.
“Saya mahu pihak terbabit segera membersihkan sampah-sampah yang ditinggalkan itu kerana dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk.
“Jangan pula disalahkan orang lain jika ada kematian penduduk di sini akibat denggi yang dibawa nyamuk aedes,” ujarnya.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin