Pemain deram kudung pukau tetamu majlis kahwin
TELUK INTAN 23 Feb. - Bermain deram mengunakan hanya sebelah tangan bukan satu perkara mudah.
Namun bagi Rosman Zainal, 33, perkara itu bukan luar biasa baginya yang kudung tangan kiri.
Bapa kepada dua anak itu berkata, dia telah bermain deram mengunakan sebelah tangan hampir 10 tahun dan menggangap kebolehannya itu kurniaan Allah.
''Meskipun kudung sebelah tangan, tapi saya ingin membuktikan saya juga mampu menjalani kehidupan seperti manusia biasa.
''Kebolehan ini adalah satu rahmat Allah buat saya dan keluarga. Saya akan terus bermain deram untuk menghiburkan orang ramai," katanya ketika ditemui membuat persembahan pada satu majlis perkahwinan di Padang Tembak di sini semalam.
Kebolehan Rosman bukan sahaja memukau penduduk setempat tetapi pengunjung luar, lebih-lebih lagi deram yang digunakannya tidak melibatkan sebarang pengubahsuaian.
Seorang tetamu, Muhamad Nasa, 39, berkata, dia tidak pernah melihat ataupun bertemu mana-mana kumpulan kugiran unik seperti itu.
Katanya, kebolehan yang dimiliki Rosman amat luar biasa kerana meskipun hanya menggunakan sebelah tangan, pukulannya tidak sumbang dan dia dapat bermain deram dengan baik.
''Bermain deram bukanlah satu perkara mudah. Silap cara bunyinya sumbang dan tak sedap.
''Inikan pula insan sepertinya. Kita yang normal ini pun belum tentu dapat melakukan sepertinya. Kebolehan Rosman benar-benar menakjubkan. Dengan hanya satu tangan dia dapat memukul deram dengan pantas dan bertenaga," katanya.
Comments
Post a Comment