Pembangkang wujud unit pecah belah rakyat - Tengku Adnan
Tengku Adnan berkata, mereka yang terlibat dengan unit khas yang dipercayai sebagai unit tindakan daerah itu akan diasuh oleh pihak tertentu untuk berbuat demikian.
"Mereka akan cuba meracuni fikiran masyarakat di sesebuah kawasan dengan pergi ke surau, dewan badminton, gelanggang futsal dan macam-macam tempat lagi.
"Apa yang menyedihkan ada orang UMNO sendiri yang mengiakan apa mereka cakap, kegiatan seperti ini ada juga berlaku di Putrajaya dan kita sedang mengawasinya," kataya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kembara AMAN Kampus di Dataran Putra di sini hari ini.
Program anjuran Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) dengan kerjasama 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diadakan untuk mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat.
Seramai 200 mahasiswa dan wakil NGO mengikuti program kembara fasa pertama itu yang bermula 6 hingga 19 Februari ini, meliputi 14 destinasi terpilih di seluruh negara.
Tengku Adnan berkata, bagi mengatasi situasi itu, beliau sedang mengadakan kerjasama dengan pihak NGO untuk memantau keadaan tersebut.
"Saya menghadapi situasi ini dengan menggunakan kaedah lain dan saya tidak menggunakan UMNO untuk mengawal perkara tersebut," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, mahasiswa diminta tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang menyelinap masuk ke dalam kampus dengan menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap kerajaan.
"Tindakan penyebaran persepsi berbentuk fitnah itu seterusnya dikhuatiri akan dianggap boleh menjadi sesuatu yang betul di mata masyarakat.
"Dalam hal seperti ini, mahasiswa perlu melakukan pertimbangan sebelum melakukan sesuatu perkara kerana ia nanti turut melibatkan pandangan daripada banyak pihak termasuk masyarakat dan kerajaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Putrajaya itu berkeyakinan, program kembara Aspirasi tersebut dapat membantu kerajaan menangkis masalah persepsi negatif yang berleluasa di persekitaran kampus.
Comments
Post a Comment