Penyakit hilang fokus


Pemain Bahrain, Abdul Rahman Maulud (kanan) mengasak pemain Malaysia, Wan Zack Haikal dalam saingan Kumpulan C Kelayakan Olimpik di Manama, semalam. - AFP



























KUALA LUMPUR - Ketika satu mata sudah hampir digenggam ketika saingan berbaki enam minit, jalan cerita yang sama ditampilkan oleh skuad Olimpik di Manama apabila tewas sekali lagi kepada jaringan lewat permainan Bahrain pada saingan kelayakan Olimpik, semalam.
Seperti tidak mengambil pengajaran daripada kekalahan 2-3 pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, pengendali skuad Olimpik, Ong Kim Swee mengakui anak-anak buahnya hilang fokus selepas berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-84 melalui jaringan Ahmad Hazwan Bakri.
''Saya sedikit kecewa pemain kehilangan fokus selepas mendapatkan gol penyamaan dan ia memberikan peluang kepada Bahrain mendapatkan gol kemenangan.
''Dalam perlawanan peringkat antarabangsa seperti ini, satu kesilapan mudah sudah cukup untuk menentukan pasukan mana yang tewas dan kami telah dihukum.
''Namun, saya tetap mahu mengucapkan tahniah kepada semua pemain saya yang ternyata telah beraksi bersungguh-sungguh mendapatkan gol penyamaan selepas ketinggalan pada separuh masa pertama," katanya ketika dihubungi, semalam.
Kim Swee juga mengingatkan para peminat negara agar menerima realistik dengan kekuatan sebenar negara kerana masih ada jurang untuk bersaing di peringkat Asia.
''Bagi saya, walaupun kami sudah tidak layak lagi bersaing ke Sukan Olimpik, kami telah mendapat pendedahan yang cukup berguna kerana bukan mudah buat pasukan seperti Malaysia untuk berjumpa Jepun kalau bukan kerana kami bermain di pusingan akhir kelayakan kali ini," katanya.
Dalam aksi keempat Kumpulan C saingan kelayakan Olimpik itu, Malaysia yang bermula dengan agak perlahan ketinggalan kepada Bahrain pada minit ke-25 melalui Mohammed Al-Alawi sebelum Hazwan Bakri menyamakan kedudukan enam minit sebelum tamat perlawanan.
Namun, Bahrain yang terdesak mencari kemenangan melakukan tiga penukaran pemain dua minit selepas itu dan berpunca daripada kesilapan Gary Steven Robbat yang kehilangan bola di tengah padang, tuan rumah melakukan serangan balas pantas dan Husain Al Farhan menghukum kerapuhan benteng pertahanan negara dengan gol kemenangan pada minit ke-87.
''Kita perlu mempertahankan maruah kita dengan memberikan tentangan kepada Jepun dan Syria walaupun saya sudah tahu ia sebarang keputusan tidak memberikan makna kepada kita," katanya.
Menentang Jepun 22 Februari ini di Stadium Nasional, Kim Swee sudah pasti akan kehilangan Gary Steven Robbat dan Wan Zack Haikal Wan Noor kerana mengutip dua kad kuning manakala Ahmad Hazwan Bakri belum pasti dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin