Terengganu, Kelantan, Kedah layak suku akhir Piala FA

Piala FA















KUALA LUMPUR 11 Mac - Juara bertahan Terengganu, Kelantan dan Kedah merupakan antara lapan pasukan yang menempah tiket ke peringkat suku akhir Piala FA selepas menumpaskan lawan masing-masing, malam tadi.
Penyerang Terengganu Mohd Ashaari Shamsuddin muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-49 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Juara dua kali pada 2000 dan 2011 itu bagaimanapun berhadapan laluan getir pada suku akhir selepas dijadualkan bertemu dengan pendatang baru, Lions XII yang mengalahkan NS Betaria, 2-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Jiran mereka, Kelantan yang juga naib juara Piala FA turut layak setelah mencatatkan kemenangan tipis, 3-2 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhamad ke-IV, Kota Baharu.
Tiga gol skuad Kijang dijaringkan oleh Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ke-30), Indra Putra Mahayuddin (minit ke-43) dan kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi (minit ke-65).
Manakala dua gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh Muhd Afiq Azmi pada minit ke-39 dan Fazuan Abdullah pada minit-minit akhir permainan.
Kelantan akan bertemu dengan SPA FC pada perlawanan suku akhir selepas pasukan kelab dari Lembah Klang itu mengalahkan kelab dari Kemboja Preach Khan Reach FC, 1-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Mengikuti jejak langkah dua pasukan dari Pantai Timur itu ialah Kedah yang turut mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas jiran mereka, Perlis di Stadium Darul Aman.
Tiga gol skuad Kenari dijaringkan oleh Mohd Khyril Muhymeen pada minit ketujuh dan 37) serta Amar Rohidan pada minit ke-24 manakala dua gol pasukan pelawat dihasilkan oleh Mohd Rizal Ghazali pada minit ke-21 dan pemain import dari Sierra Leon, Henry Lewis pada minit ke-66.
Skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu akan bertemu dengan pasukan kelab dari Terengganu, T-Team yang menumpaskan Pahang 3-2 di Stadium Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.
Sementara itu, hajat juara lima kali Piala FA, Selangor untuk melangkah ke peringkat suku akhir tidak kesampaian apabila mereka kalah 4-5 kepada Johor FC menerusi sepakan penalti selepas terikat 2-2 dalam masa penuh perlawanan.
Dua gol Selangor dijaringkan oleh Azidan Sarudin pada minit ke-30 dan Mohd Asrarudin Putra Omar pada minit ke-55 manakala dua gol Johor FC dihasilkan oleh Ahmad Fauzi Saari pada minit ke-58 dan penyerang import dari Brazil Arthur Henrique Bernhardt pada minit ke-64.
Peringkat suku akhir Piala FA yang menggunakan format timbal balik akan berlangsung pada 24 dan 27 Mac ini. — BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin