Transformasi basmi kemiskinan RAKYAT
Transformasi basmi kemiskinan
SHAH ALAM 13 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program transformasi membasmi kemiskinan di negeri ini menghadapi kekangan besar apabila banyak perkara yang dirancang belum dapat dilaksanakan ekoran halangan daripada Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.Perdana Menteri berkata, ia termasuk perancangan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) untuk membangunkan kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah sebelum ini menghadapi masalah setelah kerajaan negeri merampas tanah milik yayasan tersebut.
Justeru, beliau mengulangi penegasannya bahawa, sebarang masalah yang dihadapi termasuk dalam konteks masa depan YBK adalah bergantung kepada Barisan Nasional (BN) yang perlu kembali berkuasa di Selangor.
''Program yang sudah tentu memberi kesan amat besar tetapi kekangannya juga besar, yakni rancangan di atas tanah yang telah dirampas seluas 191 hektar dan 324 hektar telah dikaveat.
''Oleh itu, nampaknya pelan transformasi YBK bersifat bersyarat, kalau hendak menjadi kenyataan, maka YBK perlu mendapatkan semula tanah yang telah dirampas dan dikaveat tersebut. Ia bukan syarat yang normal, tetapi tidak mustahil kita akan dapat mencapainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Transformasi Lima Tahun 2012-2016 YBK di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom dan Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed.
Pelan Transformasi YBK 2012- 2016 antara lainnya akan memberikan peluang kepada 250 pelajar mendapat kemudahan Asrama Kasih YBK Gesir, di Asrama Kasih Serendah (1,250 pelajar), Asrama Kasih 1Malaysia (200 pelajar), Program Kumpulan Tuisyen Hujung Minggu (Kuntum) melibatkan 24,836 pelajar; Akademi Mutiara YBK (9,111 pelatih) dan Akademi Kemahiran YBK Gesir (1,303 pelatih).
Perdana Menteri berkata, sebenarnya seseorang itu 'tidak perlu menjadi saintis nuklear' bagi membuat kesimpulan mengapa kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang menghalang dan membantutkan rancangan YBK.
''Ia berpunca daripada hasrat Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) hendak menjadi Pengerusi YBK. Bila tidak kesampaian, maka tanah pun dirampas dan dikaveat. Kesimpulannya adalah pelan transformasi berkait rapat dengan transformasi politik di Selangor," kata beliau.
Bagaimanapun, Perdana Menteri memberikan jaminan program YBK tidak akan terbantut meskipun tidak dapat membangunkan tanah di Serendah.
Ini kerana, katanya, Kerajaan Persekutuan tampil menjadi penyelamat apabila beliau telah meluluskan pembinaan kampus UiTM di Jasin, Melaka dan menyerahkan projek tersebut untuk dibangunkan oleh YBK.
''Tidak mengapalah walaupun yang untungnya orang Melaka, tetapi sekurang-kurangnya YBK dapat projek bagi menyuntik dana untuk menjalankan pelbagai program seperti yang telah digariskan," katanya.
Perdana Menteri menegaskan, pihaknya memberikan sokongan kuat kepada YBK kerana yakin pertubuhan itu boleh menjadi rakan strategik kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan sama ada miskin tegar atau miskin relatif.
''Walaupun kemiskinan hampir terhapus mungkin ada timbul dari semasa ke semasa atas sebab tertentu yang mana mereka amat memerlukan bantuan dan dalam hal ini kalau melebihi paras kemiskinan dengan pendapatan RM720 sebulan dengan anak empat hingga lima orang tidak semestinya mereka tidak tergolong sebagai yang menghadapi kemiskinan.
''Kerana mereka yang tinggal di bandar jangan sebut pendapatan RM720 sebulan, yang pendapatan RM3,000 sebulan pun akan menghadapi kesulitan kewangan apabila hujung bulan," katanya.
Dalam hal ini, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha membasmi kemiskinan akan diteruskan dan ia mesti dilakukan dalam memastikan kejayaan meningkatkan kekayaan dan pendapatan negara tercapai.
''Kalau kita dapat menjana kekayaan seperti YBK yang ada suntikan modal, ia boleh melakukan pelbagai program dan kalau hendak beri apa juga jenis bantuan, kita perlu jana kekayaan.
''Caranya kita mesti tahu hendak urus tadbir negara dan ekonomi negara dengan bijak serta berhemat," kata beliau.
Katanya, ini dapat dilihat apabila Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah menunjukkan kejayaan apabila tahun lalu, seramai 44,000 orang telah terkeluar daripada kelompok kemiskinan.
''Kita akan selongkar dan menyelusur serta berjalan ke seluruh negara untuk mencari mereka yang memerlukan bantuan. Saya percaya bahawa kalau kita berada di landasan yang benar, kalau nawaitu baik hendak menolong dan tidak menzalimi orang, Allah akan memberikan petunjuk dan rahmat kepada kita," kata beliau.
Comments
Post a Comment