Sungai Muroli ikon tagal Sabah






































Ikan pelian atau kelah yang berkeliaran bebas di Sungai Muroli sentiasa menunggu kehadiran pelawat.
MELIHAT ribuan ikan kelah atau dikenali sebagai ikan pelian di Sabah yang berenang bebas sambil meliuk-liukkan badannya di kawasan air yang cetek cukup menggeramkan.
Malah, sebaik sahaja kaki dicecah ke dalam air, ikan pelian tersebut mula mengerumuni dan menggigit manja kaki pengunjung.
Laksana sebuah spa terbuka, pengunjung yang hadir ada yang terjerit-jerit kegelian. Malah ada juga berkesempatan membelai dan memberi makan ikan-ikan tersebut persis haiwan peliharaan yang amat manja.
Jika di kawasan lain, kehadiran ribuan ikan pelian yang berenang tanpa berasa takut dengan kehadiran manusia sudah pasti akan berakhir dalam pinggan untuk dijadikan hidangan.
Namun mereka bernasib baik kerana berada di Sungai Muroli, Kampug Luanti Baru, Ranau, Sabah yang mengamalkan sistem tagal sejak beberapa tahun lalu.


Ikan kelah amat digilai oleh penggemar ikan sungai berikutan tekstur isinya yang lembut dan rasanya sedap berbanding ikan-ikan lain.
Jika di Semenanjung Malaysia, ia menjadi buruan dan idaman penggemar ikan air tawar sehingga pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan peraturan khas terhadap penangkapan ikan tersebut.
Namun, berbeza di Sungai Muroli, ikan-ikan kelah tersebut bebas berenang tanpa perlu risau ditangkap untuk dijadikan hidangan.
Kawasan sungai tersebut pada asalnya sering dijadikan kawasan mandi-manda oleh kanak-kanak.
Ia juga merupakan kawasan perkelahan di hujung minggu oleh penduduk tempatan dan sesekali menjadi tempat persinggahan pemandu dari Sandakan menuju ke Kota Kinabalu.
Ini kerana lokasi kampung tersebut yang strategik, di tepi jalan utama menjadikannya tumpuan orang ramai.
Ditambah lagi dengan keistimewaan buah durian yang terdapat di kampung tersebut menjadikannya destinasi digemari.
Apabila menjadi tumpuan, sungai tersebut mulai dikotori dengan sampah yang ditinggalkan.
Semuanya bermula pada tahun 2002 apabila anak jati Kampung Luanti Baru, Jeffrin Majangki bersama rakan-rakannya memulakan langkah drastik menyelamatkan Sungai Muroli dengan membersihkan kawasan sekitarnya.
Namun, setelah sungai dibersihkan, kehadiran orang ramai semakin bertambah. Ia mencetuskan masalah baru iaitu pembuangan sampah merata-rata tempat secara berleluasa dan tidak dapat dikawal.
Malah aktiviti penangkapan ikan tanpa batasan dengan menggunakan pelbagai jenis alat penangkapan yang diharamkan juga semakin berleluasa.
"Justeru itu saya tampil dengan idea memperkenalkan sistem undang-undang yang dikenali sebagai Sistem Tagal.
"Sistem ini merangkumi aspek penjagaan flora dan fauna oleh seluruh komuniti setempat di sekitar sungai yang akhirnya mencetuskan sumber ekonomi baru bagi kawasan ini," katanya.
Jeffrin Majangki yang juga Pengerusi Tagal, Kampung Luanti Baru, Ranau, Sabah, berkata kempen penerangan kepada masyarakat setempat bukanlah mudah.
Namun, dengan usaha yang gigih, akhirnya beliau berjaya mengubah pandangan penduduk setempat malah komuniti di sekitarnya turut memberikan komitmen.
Usaha Jeffrin turut disokong pelbagai pihak seperti Mahkamah Anak Negeri, Jabatan Perikanan dan polis.
Akhirnya, sistem tagal berjaya dilaksanakan dan diiktiraf secara rasmi pada 12 Oktober 2002.
Menyorot kembali idea penubuhan sistem tersebut, Jeffrin mengatakan ia bermula daripada pengalamannya melawat beberapa buah tempat semasa menjawat jawatan Setiausaha Perhubungan kepada Menteri Perindustrian Sabah, Datuk Dr. Ewon Ebin pada ketika itu.
Semasa beberapa siri lawatan tersebut, Jeffrin tertarik dengan keunikan spa ikan yang dipelihara di dalam kolam.
Justeru ia menjadi lonjakan idea kepadanya untuk membuat pekara yang serupa di Sungai Muroli sehingga wujudnya sistem tagal tersebut.
Berbeza dengan kawasan lain yang mengamalkan sistem tagal, di Sungai Muroli, ikan-ikannya tidak akan dituai.
Ia akan terus dibiarkan bebas berenang dan membesar tanpa gangguan proses penangkapan yang biasanya diadakan sekali setiap tahun pada musim buka.
Ikan dibiarkan tanpa ditangkap bagi menarik kehadiran pelancong yang ingin merasai spa ikan pelian yang sememangnya tidak dapat diperolehi di tempat lain.
Jelas Jeffrin, selain daripada merasai urutan ikan kelah, di sana juga turut disediakan kemudahan penginapan seperti rumah panjang serta rumah tradisional yang diperbuat daripada buluh.
Malah, untuk menyelami suasana kampung, aktiviti rentas hutan turut ditawarkan.
Selain itu, untuk mereka yang meminati aktiviti melibatkan air seperti white water rafting turut terdapat di sana.
Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web
di alamat http://tagalmoroli.webs.com,
Jeffrin sendiri di talian 088-876988.

Related Posts :Info Agroculture

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin