Curi: Tujuh warga asing ditahan

TUN Hisan Tun Hamzah menunjukkan barang kemas yang berjaya ditemui semula sewaktu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor, semalam.
SHAH ALAM 21 Julai - Polis menemui semula barangan kemas berlian bernilai RM2 juta yang dilaporkan dicuri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Rabu lalu dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Semantan, Kuala Lumpur semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 2.22 petang itu, polis turut menahan tujuh warga asing termasuk tiga wanita yang dipercayai anggota sindiket jenayah antarabangsa bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kecurian itu dilaporkan oleh seorang wanita berusia 53 tahun yang merupakan pengurus syarikat barangan kemas dan baru tiba di KLIA dari Hong Kong pada pukul 6.35 petang Rabu lalu.
Beliau berkata, warga Hong Kong itu datang ke negara ini untuk menyertai pameran barangan kemas yang diadakan di KLCC pada Khamis lalu.
Menurut beliau, selepas menerima laporan mangsa, pasukan polis terus memantau 3,000 rakaman kamera litar tertutup di KLIA bagi mendapatkan gambaran kejadian.
“Berdasarkan rakaman, pihak polis mendapati barangan kemas berlian yang disimpan dalam sebuah beg telah dicuri oleh dua wanita asing memakai skarf ketika mangsa sedang sibuk bercakap dengan seorang petugas di sebuah kaunter di KLIA. Mangsa hanya sedar selepas 18 minit kemudian.
“Susulan daripada rakaman CCTV di kaunter dan di tempat lain, kita berjaya menjejak suspek serta mendapatkan maklumat sehinggalah kondominium yang mereka sewa berjaya dikesan dan seterusnya mereka diberkas.
“Kita juga menemui 309 jenis barangan kemas berlian yang dicuri daripada mangsa di kondominium itu," kata beliau sambil menunjukkan rakaman CCTV di tempat kejadian kepada pemberita di Pusat Media Selangor, di sini hari ini.
Tun Hisan memberitahu, siasatan pihaknya mendapati tiga daripada suspek berasal dari Costa Rica, dua dari Colombia, seorang dari Uganda dan seorang dari Mexico yang datang ke Malaysia sejak Mac hingga bulan ini.
Dua suspek yang berasal dari Colombia merupakan ayah dan anak.
Jelas beliau, siasatan juga mendapati dua daripada suspek merupakan pelajar kolej di Puchong dan Kajang dekat sini sementara lima lagi datang sebagai pelancong.
“Kesemua suspek yang berusia antara 25 dan 40 tahun yang di antaranya positif ganja akan direman hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis juga sedang menyiasat kemungkinan kesemua suspek terlibat dengan beberapa kes jenayah termasuk kecurian barangan hospital yang dilaporkan baru-baru ini,’’ jelasnya.



Related Posts :Info Jenayah

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin