Juruwang dipaksa tanggal pakaian

Mangsa menunjukkan salinan laporan polis berhubung kejadian penyelia menyuruh dia menanggalkan pakaian kerana dituduh mencuri, ketika ditemui pemberita di Batu Pahat, semalam.
BATU PAHAT 19 Julai - Seorang wanita yang bertugas sebagai juruwang di sebuah farmasi mendakwa dipaksa menanggalkan pakaian hanya kerana dituduh mencuri RM50 di tempat kerjanya itu di sini baru-baru ini.
Mangsa yang berusia 24 tahun berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang Isnin lalu apabila dua wanita yang merupakan penyelia farmasi itu menyatakan wang jualan kurang RM50 lalu menuduh dia mengambil duit itu.
Dia kemudian menafikan telah mengambil duit itu namun, penyelia terbabit tidak mempercayainya dan mereka melakukan pemeriksaan badan secara luaran ke atasnya di bilik pejabat pengurusan.
Dakwa wanita itu, setelah gagal menemui wang itu, mereka memanggil seorang lagi promoter wanita untuk melakukan pemeriksaan tetapi kali ini dia terpaksa menanggalkan pakaian sehingga hanya tinggal pakaian dalam.
"Saya baru 10 hari kerja di sini dan tak tahu sangat pasal undang-undang. Mereka pula bertegas menyatakan pemeriksaan itu adalah prosedur biasa yang mesti dipatuhi.
"Saya akhirnya terpaksa mengikut arahan tersebut dan menanggalkan pakaian di hadapan tandas kerana kononnya di situ tiada CCTV (kamera litar tertutup)," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mangsa mendakwa, pemeriksaan itu juga gagal menemui wang tersebut, malah, penyelia terbabit sebaliknya menyatakan wang jualan sebenarnya ada lebihan setelah pengiraan semula dilakukan.
Bagaimanapun, selain tidak berpuas hati dengan tindakan itu, dia juga bimbang jika ada pihak mengambil gambar separuh bogelnya ketika pemeriksaan badan dilakukan dan menyebarkannya dalam Internet.
Sehubungan itu, mangsa yang berkelulusan Diploma Mekatronik dari sebuah politeknik membuat laporan di Balai Polis Batu Pahat keesokan harinya berhubung kejadian itu.
Menurutnya, ekoran kejadian itu, dia mengambil keputusan berhenti kerja dan melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Buruh serta bercadang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terlibat.


Related Posts :Info Jenayah

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin