Pesakit kronik berhasrat jumpa PM


 
 
 
 
Muhammad Amir, 11 (kiri), Nurfatihah, 8 dan Nurul Huda, 12 membelek komputer riba sambil diperhatikan Zamary Adam (kanan) dan Adiana Othman (dua kanan) di Kampung Selayang Indah, semalam.
KUALA LUMPUR 3 Ogos - ''Jika diberi peluang, saya teringin hendak berjumpa dengan Datuk Seri Najib.''
Demikian hasrat yang diluahkan pengidap penyakit kronik, Muhammad Amir Zamary, 11, kepada Datuk Sohaimi Shahadan pada kunjungan Ketua Pemuda UMNO Selayang itu di rumahnya di Kampung Selayang Indah dekat sini hari ini.
Muhammad Amir yang menghadapi masalah salur pundi kencing tidak berfungsi sejak berusia enam tahun berkata, dia cukup mengagumi Najib dan menjadikan Perdana Menteri itu sebagai idolanya.
Dalam kunjungan kali ketiga itu, Sohaimi menyampaikan sebuah komputer riba kepada Muhammad Amir selain barang-barang berupa keperluan harian sebagai persiapan kanak-kanak malang itu dan keluarganya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.
Hadir sama Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Selayang, Datuk Dr. Alwi Abdul Rahman, Setiausaha Kanan kepada Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Imran Idris dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Selayang Indah, Mohd. Yunus Md. Akhir.
Sohaimi dalam pada itu berkata, sumbangan komputer riba tersebut sebagai usaha pihaknya untuk menunaikan hasrat kanak-kanak itu yang diluahkan kepadanya pada kunjungannya sebelum ini.
Mengulas lanjut tentang hasrat terbaru pelajar Sekolah Kebangsaan Selayang Baru itu, katanya, hasrat itu mungkin sukar namun tidak mustahil boleh direalisasikan.
''Perdana Menteri kita walau dalam kesibukan macam mana pun, beliau biasanya akan cuba penuhi mana-mana hasrat mereka yang ingin berjumpa dengannya,'' katanya.
Kisah Mohammad Amir menjadi perhatian pihak media sebelum ini kerana bukan dia sahaja yang mengidap penyakit kronik, malah dua beradiknya yang lain turut menerima nasib sama.
Kakaknya, Nurul Huda Zamary, 12, mengidap penyakit kencing berdarah dan tiroid tahap empat manakala adiknya, Nur Fatihah Zamary, 8, baru sahaja disahkan mengidap penyakit kanser tulang.
Anak-anak kepada pasangan Zamary Adam, 43, dan Adiana Othman, 34, itu memerlukan kos rawatan kira-kira RM1,500 sebulan.
Related Posts :Isu Rakyat, Suara Rakyat,

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Kepergok Pocong [Indo] (2011) VCDRip MKV