Tenang yang bahagia Noryn Aziz


KEKAL jelita dalam imej sopan.
HAMPIR tiga tahun lamanya saya tidak bertemu dengan wanita ini. Selama tempoh itu jugalah, pelbagai cerita yang bertebaran tentang penyanyi yang memiliki vokal hebat ini sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.
Maklumlah, selepas Noryn Aziz menamatkan zaman janda dengan seorang figura yang bukan calang-calang hampir tiga tahun lalu, ramai yang mengandaikan bahawa dia sudah mengibarkan bendera putih sebagai tanda persaraannya.
Begitu juga dengan saya. Hendak mendekati Noryn selepas bergelar isteri kepada Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah bagaikan ada satu tembok kebal yang menjadi penghalang.
Jujurnya, apabila Noryn membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga, saya merasakan ia adalah satu keputusan yang tidak sepatutnya dilakukan olehnya.


Mana tidaknya. Ketika itu, namanya betul-betul berada di puncak kejayaan selepas sekian lama dia mengambil masa untuk membuat kemunculan semula pada tahun 2006.
Tetapi, sebagai manusia, kita seharusnya reda dan terima dengan ketentuan yang sudah tertulis di Loh Mahfuz. Biar apa yang diperkatakan, yang hendak melalui kehidupan adalah diri kita sendiri.
Lantas, apabila Hits menyuarakan hasrat untuk membuat sesi fotografi dengannya untuk bertanyakan tentang perkhabaran terbarunya, Noryn tidak menolak. Sebaliknya dia menerima dengan perasaan cukup teruja.
Noryn masih seperti dulu. Riang tawa dan tutur katanya tetap sama. Kalau yang berubah pun, hanyalah penampilannya yang lebih bersopan dan menutup aurat.
Imej pakaian melekap di tubuh sudah jauh ditinggalkan. Apa yang membaluti hanyalah jubah dan tudung dengan corak fesyen terkini sesuai dengan dirinya.
"Awak tidak menyesal berkahwin ketika nama awak begitu popular?" demikian soalan pertama yang terpacul dari bibir saya," tatkala wajahnya disolek oleh jurusolek terkenal, Hadthim Thai.
Sambil melirik senyuman manis, Noryn menggelengkan kepalanya perlahan.
"Saya tidak pernah menyesal membuat keputusan ini. Lagipun saya sudah merasai semua nikmat dan jatuh bangun dalam dunia seni.
"Sudah sampai seru untuk saya mendirikan rumah tangga dan suami adalah jodoh saya. Usia saya pun bukannya muda lagi.
"Jujurnya, saya tidak rasa perkahwinan kami menimbulkan sebarang kontroversi kerana semuanya dilakukan dengan cara yang betul.
"Cuma, yang kurang manisnya apabila pelbagai cerita tidak benar tersebar selepas saya berkahwin sehingga ada ketika hati saya terusik," luah Noryn panjang lebar.
Sudah pasti dalam perbualan kami ada beberapa cerita off the record kerana Noryn mahu menjaga hati ramai pihak agar yang tidak tersinggung dengan kenyataannya.
Tetapi, jelas pemilik nama penuh Norazmahwati Abdul Aziz ini lagi, dia mempunyai sebab untuk tidak menghebohkan tentang perkahwinan yang berlangsung pada 22 Januari 2010, biarpun ia sebenarnya adalah sebuah rahsia terbuka.
Kata Noryn, selama ini pun, sudah terlalu banyak cerita peribadi yang dijaja biarpun sebahagian besarnya adalah dusta.
Kerana itu jugalah, wanita berusia 36 tahun ini mengambil keputusan untuk tidak berkongsi cerita perkahwinannya tetapi hanya dinikmati oleh dirinya sendiri.
Lalu saya bertanya lagi. Mengapa selepas tiga tahun baru mahu terbuka berkongsi dengan masyarakat tentang perkahwinan?
"Untuk dua tahun pertama, banyak perkara yang harus diambil kira dan banyak hati yang perlu dijaga. Saya tidak mahu lagi cerita peribadi diperbesar-besarkan dan dihebohkan.
"Lagipun perkahwinan kami bukan satu rahsia malah ramai juga yang sudah tahu. Cuma, saya sahaja yang tidak mahu menghebohkan walaupun ia wajar dikongsi bersama.
"Hanya tahun ini, kami mula terbuka untuk berbicara tentang perihal ini dan ada beberapa majlis yang saya hadir bersama-sama suami. Saya kini lebih selesa dengan kehidupan baru ini.
"Malah, kami juga terus berusaha untuk memiliki cahaya mata sendiri tetapi belum ada rezeki," katanya tersenyum.
Menyanyi, tetapi...
Dalam perbualan kami juga, saya bertanyakan tentang kesahihan berita yang mengatakan dia sudah berundur dari dunia seni.Semuanya kerana kehilangannya di media massa yang terkesan oleh masyarakat sehingga ramai yang tertanya-tanya.
Ketika ini, kerancakan suaranya berbicara serta-merta bertukar perlahan dan tersekat-sekat sehingga manik-manik jernih mula bergenang di tubir mata.
Jelas Noryn, dia tidak pernah mencanang satu Malaya bahawa akan meninggalkan dunia seni secara total selepas bergelar isteri.
Salah tanggapan terhadapnya sedikit sebanyak telah menjejaskan periuk nasinya gara-gara berita yang tidak benar itu.
Secara tidak langsung, ia telah mengguris hati wanitanya sehingga dia mengambil keputusan untuk berdiam diri.
"Saya masih menyanyi walaupun selepas berkahwin tetapi saya harus memilih mana yang bertepatan sesuai dengan status. Lagu-lagu yang menjadi punca rezeki selama ini masih lagi dinyanyikan.
"Suami juga tidak pernah menghalang atau mengongkong. Dia memberi kebebasan tetapi dengan syarat saya harus bijak mengimbangi antara keluarga dan kerjaya.
"Alhamdulillah. Selama hampir tiga tahun berkahwin, dia banyak membimbing saya ke arah kebaikan dan saya sendiri pun sememangnya sudah berubah untuk menjadi seorang muslimah sejati," jelas penyanyi lagu Alam Maya ini sambil mengelap air matanya.




Related Posts :Info Artis, artis malaysia,

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin