Cara terbaik untuk membiak baka Boer

Kambing dilepas bebas meragut bagi mewujudkan suasana yang lebih selesa kepada ternakan sekali gus mampu mengurangkan kos pemakanan.
Biarpun pada asasnya ternakan kambing dilihat mudah, pengusaha berdepan dengan cabaran jika mereka tidak arif. Akibatnya peratus menghadapi kegagalan adalah tinggi.
Fenomena itu berlaku di Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer, Koperasi Pembangunan Desa (KPD), Kabang, Papar, Sabah sebelum ini apabila projek ternakan kambing tidak menjadi.
Ternakan kambing baka Boer yang diusahakan oleh KPD sebelum itu mengalami kadar kematian yang tinggi iaitu sekitar 30 peratus dan kadar pembiakan juga agak kurang.
Menyedari keadaan ternakan yang semakin teruk, KPD mengorak langkah bekerjasama dengan pakar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi memulihkan projek tersebut.
Menurut Ketua Projek Technofund Kambing UPM-KPD, Profesor Dr. M. Zamri Saad, justeru, pada 2009, UPM bersama KPD menjalankan projek penyelidikan pembiakbakaan, makanan dan kawalan penyakit ternakan kambing Boer secara sistematik dan moden.
"Kerjasama tersebut turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Sabah menerusi KPD," ujarnya ketika di temui di pusat di Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer, Koperasi Pembangunan Desa (KPD), Kabang, Papar, Sabah baru-baru ini.


Menurut Dr. M. Zamri, projek pembangunan penyelidikan pengkomersialan tersebut turut dikenali sebagai Pembangunan Protokol Kesihatan Ternakan Yang Lestari Untuk Ladang Ternakan Kambing KPD, Sabah.
Projek yang diketuainya serta dua lagi pakar UPM iaitu Profesor Madya Dr. Azhar Kasim dari Fakulti Pertanian dan Profesor Dr. Md. Zuki Abu Bakar dari Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) turut mendapat peruntukan geran Technofund, sebanyak RM3.17 juta.
Antara objektif projek tersebut adalah untuk menjadi ladang ternakan kambing Boer terbesar di negara ini dan menjadi pembekal utama baka kambing bermutu tinggi kepada penternak.
Seterusnya menjadi ladang contoh dalam kaedah penternakan secara intensif yang moden dan mengamalkan Sistem Penternakan Yang Baik (GAHP) dan menjadi pusat kajian dan Pembangunan (R&D) ternakan kambing dalam sistem pemakanan, program kesihatan dan program pembiakbakaan.
Menurut pengurus projek tersebut, Dr. Mohd. Shahrom Salisi, terdapat tiga buah ladang ternak di bawah seliaan beliau.
Antaranya ialah Ladang Ternakan Kambing Kelatuan dan Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer Kabang, Papar serta Ladang Ternakan Kambing Bukau di Beaufort.
Jelas Dr. Mohd. Shahrom, penghasilan baka kambing Boer hanya tertumpu di Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer Kabang, Papar. Manakala ladang lain adalah untuk kambing sembelihan.
"Sehingga 21 April lalu pusat pembiakbakaan memiliki baka pejantan sebanyak 72 ekor, keseluruhan induk 874 ekor, 60 ekor dewasa jantan, tiga dewasa betina (anak kelahiran peringkat awal), 114 anak jantan dan 58 anak betina yang mana berjumlah 1181 ekor," katanya.
Ketika menjawab mengapa baka kambing Boer dipilih untuk diternak, Dr. Mohd. Shahrom menjelaskan, kambing jenis itu tidak memerlukan kawasan yang luas (sistem separa-insentif) berbanding dengan lembu.
Malah, ia juga cepat membiak yang mana tempoh bunting hanya lima bulan dan kadar kelahiran sebanyak 1.5 ekor untuk setiap kelahiran (2-3 ekor) dan penggandaan adalah lebih cepat berbanding lembu.
Selain itu, harga pasaran bagi kambing hidup juga lebih menguntungkan di samping kadar muatan kambing setiap ekar (stocking density) lebih tinggi berbanding lembu.
Selain itu, daging kambing mempunyai kandungan kolestrol yang rendah berbanding ternakan lain.
Baka kambing Boer yang dijadikan induk di pusat tersebut diimport terus dari penternak di Australia .
Baka berkenaan kemudiannya dikacukkan dengan baka tempatan bermula daripada varieti F1 hingga F5 dan ke atas sehingga kualiti dan fizikalnya menyerupai baka asal boer.
Untuk menghasilkan baka yang sama seperti kambing Boer seakan-akan yang asal (F5 dan ke atas) ia memerlukan masa yang agak panjang antara setahun setengah sehingga dua tahun.
Pusat tersebut juga turut melaksanakan pelbagai aktiviti seperti Program Pengawalan Penyakit, Program Pemakanan, Program Pembiakbakaan dan Program Pembuatan Baja Organik.
Dalam program pengawalan penyakit, kajian di pusat tersebut berjaya mengawal penyakit berkaitan metabolisma seperti batu karang, pregnancy toxaemia, bloat atau tympany.
Terdapat juga jangkitan kuman dan bakteria yang menyerang kambing seperti Meliodosis, Manheimiosis, CLA (caseous lymphadenitis), Bruscellosis dan kecacingan (hemonchosis).




Related Posts :Info BioTech, info business,

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin