600 Palapes UiTM gempur Bukit Katil



Sebahagian daripada anggota Palapes UiTM bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar bersama penduduk Bukit Katil di Melaka, baru-baru ini.













MELAKA 14 Nov. - Seramai 600 anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggempur Parlimen Bukit Katil bagi menjayakan program Sekilas Kasih Jiwa Murni baru-baru ini.

Mereka menyahut cabaran melalui program turun padang menjalankan tugas-tugas khidmat masyarakat kepada komuniti dengan melakukan kerja-kerja sukarelawan di Parlimen Bukit Katil.
Program Palapes UiTM itu adalah kerjasama kerajaan negeri bersama Majlis Tertinggi Kelab Sukarelawan Intelek (KSI), Persatuan Warisan Anak Merdeka dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Ketua Jurulatih Palapes UiTM, Mejar Azman Abdul Rahman berkata, program itu dianjurkan dengan tujuan memberi pengalaman kepada peserta menyahut cabaran untuk turun padang dan mendekati masyarakat setempat.




Menurutnya, penglibatan mahasiswa UiTM itu secara tidak langsung akan mematangkan mereka agar bijak, berdedikasi dan konsisten untuk membantu kerajaan mendekati masyarakat hingga ke akar umbi.
"Kita kagum dan mengiktiraf penglibatan mahasiswa UiTM yang sanggup turun padang untuk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di Parlimen Bukit Katil.

"Program ini amat berguna kepada mereka agar dapat menyelami kehidupan masyarakat di samping dapat mencurah bakti dengan kerja-kerja sukarelawan," katanya.

Program tersebut turut disertai Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Timbalan Komandan Palapes UiTM, Lt. Kol Datuk Dr. Mustaffa Mohamed Zain dan Pengarah IPT Jabatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Dr. Mohammed Alwi Abdul Rahman.

Azman berkata, program itu juga adalah sebahagian daripada latihan pegawai kadet Palapes UiTM.
Melalui program Sekilas Kasih Jiwa Murni itu, kesemua peserta menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan antaranya ialah gotong-royong, membersihkan kawasan rumah penduduk, menanam pokok dan membersihkan tanah perkuburan Islam.

Selain itu, peserta turut menganjurkan program motivasi bagi anak-anak yatim daripada Rumah Anak Yatim Al-Zaharah.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pendekatan melalui program yang dianjurkan itu dapat meningkatkan imej warga Palapes UiTM dalam berdepan dengan permasalahan rakyat hingga ke akar umbi.
"Kita perlu turun padang, pantau, dengar dan lihat sendiri masalah rakyat, pendekatan ini akan memudahkan anggota Palapes menyalurkan sebarang bentuk rungutan masyarakat kepada kepimpinan kerajaan negeri," katanya.








Related Posts :info pelajar,

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin