Ladang Anggur Silverlake



Sebuah ladang anggur di Silverlake
berlatarbelakangkan bukit.


MENJEJAKKAN kaki ke ladang anggur seluas 500 ekar ini, bagaikan berada di sebuah taman fantasi ala Belanda. Ia begitu mendamaikan.

Bukan sahaja bau harum bunga-bungaan menggoda jiwa dan perasaan tetapi kehijauan alam semula jadi di sekitar Silverlake membuatkan hati benar-benar terpaut.

Buat seketika, lupakan sebentar cuaca panas di Thailand yang mencecah sehingga 42 darjah Celcius. Ini kerana suasana romantis yang menyerap di segenap sudut ladang anggur ini, dapat dirasai.
Silverlake menjadi sebuah taman anggur yang begitu indah sekali hingga menjadi tarikan utama pelancong di Pattaya.

Menariknya, jika dilihat di sekeliling ladang anggur ini, ia bagaikan satu taman tema yang diwujudkan khusus untuk penggambaran filem.
Ini tidak mustahil kerana Silverlake dibuka atas inisiatif seorang pelakon ternama negara gajah putih itu, Supansa Nuangphirom, yang cukup gah sekitar tahun 1980-an.

Bahkan, ladang anggur ini seringkali menjadi pilihan penerbit drama dan filem sebagai lokasi penggambaran, antaranya, sinetron popular, Soot Saneha, banyak membantu mengangkat Silverlake ke mata dunia.



Apatah lagi kedudukannya begitu strategik, yang mana pengunjung akan disambut dengan pantulan emas bersinar-sinar dari bukit Khao Chi Chan.

Dicatatkan sebagai ukiran terbesar di dunia setakat ini, cenuram bukit Khao Chi Chan ini meriah dengan ukiran patung Buddha pada ketinggian 109 meter dan 70 meter lebar.
Uniknya, ukiran itu dibuat dengan pantulan laser sempena sambutan ke-50 tahun raja Thailand, Raja Bhumibol menggambarkan imej patung Buddha dalam gaya Pang Man Wichai atau dikenali Phrawarachabopit.
Tidak cukup dengan itu, Silverlake juga mempunyai daya tarikan tersendiri sekalipun ladang anggurnya tidak mengeluarkan buah sepanjang tahun.

Malah, ketika rombongan Agrochallenge International Thailand 2012 mengunjungi ladang ini, buah anggur baru sahaja dipetik tetapi ia tetap penuh dengan pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu melihat sendiri keindahan taman anggur ini.

Pengunjung juga boleh mendapatkan produk Silverlake seperti biskut, jus, jem, pai anggur, jeli dan kismis yang dijual di gerai berhampiran. Jika anda bertuah, mungkin berpeluang menikmati anggur segar yang dipetik dari ladang.

Jika dilihat di sekeliling ladang anggur ini, masih terdapat beberapa penambahbaikan sedang dijalankan bagi memberi lebih banyak tarikan kepada pengunjung.

Bagi mereka yang ingin menginap di taman penuh romantik ini, terdapat 10 jenis calet disediakan mengikut keperluan masing-masing sama ada bercuti bersama keluarga atau berehat di hujung minggu dengan rakan-rakan.

Menariknya, calet ini yang dikenali sebagai Movie House dibina dengan sentuhan rumah Inggeris berwarna putih dan berlatarbelakangkan bukit Khao Chi Chan. Ia mempunyai kemudahan lengkap seperti wi-fi, peti ais, taman comel di hadapan rumah dan juga pengangkutan kepada pengunjung.

Ladang anggur Silverlake adalah salah satu destinasi lawatan Agrochallenge International Thailand 2012 ke Bangkok dan Pattaya, Thailand untuk meninjau dengan lebih dekat lagi pembangunan agropelancongan di Pattaya.

Program yang disertai 60 peserta ini memasuki kali keempat dianjurkan Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT) dan Jabatan Pertanian dengan kerjasama Rakyat Travel Sdn. Bhd.

Secara umum, Pattaya bukan sahaja dikenali dengan hiburan malam yang begitu meriah, tetapi mempunyai tarikan tersendiri seperti keindahan pantai dan pulau serta beberapa pusat rekreasi seperti taman buaya, taman orkid dan taman hidupan dasar laut yang menawarkan akuarium bertaraf dunia.

Tidak lupa juga, Pattaya mempunyai tempat-tempat bersejarah yang juga boleh dicatatkan di dalam diari pelancongan anda.







Related Posts :Info Agroculture, info business,

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin